NAMA kumpulan Hot Brains mungkin asing dalam industri hiburan arus perdana, namun pengaruh mereka cukup kuat di kalangan peminat tegar muzik rock kapak tanah air sejak era 1980-an lagi.
Namun selepas sedekat aktif, perjalanan Hot Brains bergerak perlahan dan akhirnya terhenti setelah ke lima-lima anggotanya memiliki komitmen lain yang harus diutamakan.
Enggan melihat pengaruh dan perjuangan muzik Hot Brains terkubur begitu sahaja, lima pemuda iaitu Muhammad Taufiq Khalid, 25, Dian Fitree Zakaria, 38, Badrul Hisham Mohd Saari, 46, Mohd Hafiz Hashim, 31, dan Muhamad Riduan Hashim, 27 terpanggil untuk menyambung perjuangan kumpulan tersebut.
Menurut pemain bass yang dikenali sebagai Fit yang menggalas tanggungjawab sebagai ketua kumpulan, kemunculan mereka adalah sebagai pelapis yang memperjuangkan muzik dan identiti kumpulan tersebut ke arena hiburan tanah air.
“Sebenarnya Hot Brain mula ditubuhkan sekitar tahun 1980, dan kemunculan kami sejak 2010 adalah sebagai generasi ke dua atau pelapis yang menyambung perjuangan kumpulan asal ini.
“Sebelum ini, kami juga adalah peminat setia Hot Brains sendiri dan kami terpanggil untuk meneruskan legasi ini kerana tidak rela jika perjuangan kumpulan ini terkubur begitu sahaja.
“Lagipun, anggota kumpulan asal bukanlah orang lain malah kami memiliki ikatan saudara dan niat kami untuk menyambung perjalanan Hot Brains turut mendapat keizinan daripada mereka sendiri,” jelasnya kepada Zass.
Kata Fit lagi, biarpun anggota kumpulan berubah, namun acuan muzik yang dibawa tetap sama kerana itulah keistimewaan dan identiti pada kumpulan tersebut.
“Dalam meneruskan perjuangan ini, kami tidak akan melupakan acuan asal kumpulan ini tidak kiralah dari segi muzik dan imej penampilan kerana inilah identiti tersendiri Hot Brains.
“Pada masa yang sama, kami cuba lakukan sedikit pembaharuan untuk menyesuaikan  diri dengan keadaan semasa,” katanya.
Mini album
Berkongsi mengenai perkembangan terbaharu, Fit memberitahu, mereka kini sedang sibuk terlibat dengan pembikinan album mini yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei nanti.
“Sebenarnya selepas setahun meneruskan perjuangan kumpulan ini, kami telah menghasilkan dua single iaitu Laluan dan Histeria dan sambutan yang kami terima amatlah menggalakkan.
“Melihatkan sambutan itu, kami membuat keputusan untuk menghasilkan album mini yang mengandungi enam buah lagu.
“Buat masa sekarang dua lagu telah siap sepenuhnya dirakamkan iaitu Otak Panas dan Untuk Apa. Enam lagi lagu, kami cuba siapkan sebaik mungkin,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Fit menafikan kemunculan mereka dalam industri muzik adalah untuk mewujudkan persaingan malah mengakui tujuan mereka hanyalah untuk meneruskan perjuangan muzik asal sekali gus memeriahkan lagi dunia hiburan tempatan.
“Setakat ini Insya-ALLAH, semuanya dalam keadaan yang baik. Tujuan kami berada dalam industri bukan untuk bersaing atau memberi saingan, tapi untuk memeriahkan lagi dunia hiburan tanah air.
“Lagipun kami percaya setiap kumpulan memiliki kekuatan masing-masing untuk ditonjolkan begitu juga dengan kami sendiri.
“Selagi kami diterima, selagi itulah kami akan meneruskan perjuangan muzik ini,” katanya penuh bersemangat.