Saturday 5 March 2016

Permainan suai cantum bantu kanak-kanak belajar solat



suai cantum
Dari kiri: Zaini, Nabilah Farhana dan Najib bersama set permainan suai cantum Susun & Solat bersama Aman & Alia.
SOLAT adalah tiang agama dan setiap umat Islam wajib menunaikan Rukun Islam kedua itu.
Lazimnya kanak-kanak didedahkan cara perbuatan dan lafaz menunaikan solat sejak kecil lagi oleh ibu bapa dengan pelbagai kaedah.
Ada menggunakan pendekatan menunjukkan cara perbuatan solat dan meminta anak mengikutinya, tidak kurang menggunakan buku.
Bagaimanapun, agak sukar jika ibu bapa yang tergolong kategori orang kurang upaya (OKU) melatih anak bersolat dengan cara yang sempurna.
Menyedari masalah itu, Storyseller Sdn Bhd diterajui Pengarah Urusannya, Zaini Kosnin dan pengasas bersama, Erda Akir serta Najib Wahab dan dua lagi rakan mereka, Thaqhib Mohammed serta Nabilah Farhana Norliza membangunkan alat bantu mengajar berbentuk suai cantum (puzzle) bagi memudahkan ibu bapa membantu anak mereka menunaikan solat.
Zaini berkata, idea mencipta alat suai cantum itu timbul kerana mengalami masalah mengajar anaknya menunaikan solat memandangkan dia tergolong sebagai OKU selepas terlibat kemalangan pada 2005.
"Saya solat menggunakan kerusi dan agak payah untuk menunjukkan perbuatan solat sebenar pada anak lelaki.
"Saya terfikir untuk membuat puzzle cara bersolat mengikut tertib untuk kanak-kanak kerana sebelum ini, syarikat kami banyak import barangan dari China, tetapi sukar mendapatkan produk Islamik," katanya.
Cipta puzzle menarik
Bermula Februari tahun lalu, Zaini dan rakan-rakan menjalankan pembangunan dan penyelidikan (R&D) mencipta puzzle bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak bagi membolehkan mereka mengingati perbuatan dan lafaz dalam solat.
"Kira-kira RM300,000 dilaburkan untuk R&D, reka bentuk dan cetakan sehingga siap pada November 2015 termasuk kos pemasaran.
"Selain menguji permainan pada anak sendiri, saya membekalkan 50 permainan puzzle kepada ibu bapa yang mempunyai anak berusia antara 10 bulan hingga 6 tahun dan semua beri respons memberangsangkan," katanya.
Permainan puzzle itu dikenali sebagai 'Susun & Solat bersama Aman & Alia' dan dipatenkan di bawah Perbadanan Harta Intelek.
Istimewanya, puzzle ciptaan Zaini dan rakan-rakan itu dihasilkan dalam bentuk menarik dengan karakter kartun comel membawakan watak Aman bagi karakter lelaki dan Alia (perempuan).
"Jika anak lelaki, boleh menggunakan karakter Aman dan jika perempuan gantikan dengan karakter Alia. Kedua-dua karakter kartun ini, terdapat dalam set puzzle.
"'Puzzle ini didatangkan dalam pelbagai bentuk seperti bulat, segi empat, segi tiga dan lonjong serta direka bentuk dengan warna-warna menarik bagi memudahkan anak-anak mencantum flashcard shape pada tapak puzzle mengikut warna," katanya.
Permainan ini lengkap lima waktu solat dan kad rujukan berbentuk book ring.
Lebih menarik, set permainan Susun & Solat bersama Aman & Alia dijual pada harga RM70 itu, tahan lasak dan tidak mudah koyak serta boleh dilapkan dengan kain lembap atau tisu basah.
Terjual lebih 10,000
Sejak memasuki pasaran November 2015, sebanyak 10,000 set permainan Susun & Solat bersama Aman & Alia terjual menerusi pasaran atas talian dan 50 ejen berdaftar di Malaysia dan Singapura.
Zaini turut merancang membawa masuk puzzle itu ke pasaran Asia Tenggara dalam tempoh terdekat ini.
"Kita merancang membawa puzzle ini ke Indonesia dan Brunei," katanya.

No comments:

Post a Comment