Saturday 5 March 2016

Imam Masjid Penjara, suri rumah johan Tilawah Al-Quran




Imam Masjid Penjara, suri rumah johan Tilawah Al-Quran
Muhamad Hafis dan Nor Faizah (kanan) muncul Johan Tilawah al - Quran Peringkat Negeri Selangor bersama wang tunai RM,5000, piala, pakej umrah, pakaian serta sijil selepas diumumkan sebagai pemenang. ‎
SEPANG - Imam Masjid Jabatan Penjara Kajang, Muhamad Hafis Mohamad Foozi, 27, dan suri rumah dari Klang, Nor Faizah Panut, 27, muncul johan Qari dan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Selangor Tahun 2016 yang berlangsung di pekarangan Masjid Sultan Hisamudin, Bandar Baru Salak Tinggi, dekat sini, malam tadi.
Johan Qari dan Qariah masing-masing menerima hadiah wang tunai RM,5000, piala, pakej umrah, pakaian serta sijil.
Dengan kemenangan itu, Muhamad Hafis dan Nor Faizah akan mewakili Selangor pada Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung di Putrajaya pada 21 hingga 26 Mac ini.
Muhamad Hafis yang pernah menyandang Naib Johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Selangor pada tahun 2011 dan Tempat Ketiga pada tahun 2015 tidak menyangka kali ini meraih tempat pertama dengan markah 94.67 peratus.
Menurutnya, beliau menggangap kejayaannya adalah restu keluarga, guru-guru dan kawan-kawan yang terus memberi sokongan.
"Saya nak kongsi hadiahni buat anak pertama saya yang baharu berumur sebulan selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.
"Paling tak sabar juga saya nak tunaikan impian mak saya bila dia selalu pesan suruh saya simpan duit untuk menunaikan umrah bersamanya," katanya yang baru sahaja menyambut hari jadi yang ke 27, Selasa lalu.
Mohamad Hafis turut merancang untuk mengulangkaji dengan mendengar kehebatan Qari yang terbaik di negara selain menjaga tajwid, tarannum dan menjaga pemakanan sepanjang persediaan ke peringkat kebangsaan nanti.
Katanya, memang beliau berhasrat membawa nama Selangor pula sebagai Johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan tidak lama nanti.
Bagi Johan Qariah, Nor Faizah pula dia berjaya mendapat markah 87.33 peratus sekaligus membuktikan ibu kepada dua orang anak berumur sembilan bulan dan tiga tahun bukan halangan untuk mempelajari ilmu tarannum.
Katanya, dia memang tidak menyangka dinobatkan sebagai Johan tilawah al-Quran kerana telah berehat selama setahun.
"Mujur saya diberi rezeki...apapun lepasni saya perlu berlatih secara konsisten kerana bakat saya dah ada, cuma perlu asah.
"Lebih utama saya kena bijak cari masa sesuai untuk belajar al-Quran memandangkan kena juga uruskan dua orang anak yang masih kecil. Tak nafikan agak payah namun berkat doa semua pihak saya berada di tahapni,"katanya yang pernah mendapat Naib Johan Kebangsaan pada tahun 2014.
Dalam pada itu, Naib johan pula dimenangi oleh Khairul Zaki Razali mewakili Hulu Selangor,  dengan markah 91.67 peratus serta qariah dari Hulu Langat, Nor Ruzana Natiah Jaafar mendapat 87 peratus dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM4,000, piala, pakaian dan sijil.
Bagi Qari dari Klang, Mohamad Nor Yusoff dan Qariah Fidatul Akhmar Gosnon dari Sabak Bernam masing - masing mendapat tempat ketiga dengan markah 91 peratus dan 83.67 peratus dan membawa pulang RM3,500, piala, pakaian dan sijil.
Upacara pengurniaan hadiah kepada pemenang disempurnakan Sultan Selangor,  Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah Al Haj.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Seramai 20 peserta dari seluruh daerah  di Selangor mengambil bahagian dalam tilawah kali ini yang bermula sejak Selasa lalu.
 

No comments:

Post a Comment