Sunday, 10 April 2016

Api misteri kembali




Api misteri kembali
Kehadiran api misteri di taman perumahan berkenaan turut disaksikan sendiri Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Hasrin Hasbi dan Ketua Balai Bomba Ipoh, P Samasuvam.
IPOH -  Setelah hampir lima bulan tiada sebarang insiden kebakaran secara tiba-tiba, kelmarin ia muncul kembali dan terus menghantui Intan Mohamad, 52, sekeluarga.
Kejadian kali ini merosakkan pintu rumah tingkat atas rumahnya malah kali ini turut mengakibatkan empat jirannya berhadapan dengan masalah yang sama.
Berikutan kejadian terbaru, memaksa tiga beranak yang duduk di Taman Rima Gamelan, Bercham, berpindah selepas mereka gagal mencari jalan penyelesaian.
Intan yang menghuni rumah dua tingkat peninggalan Allahyarham suaminya berkata, beliau bersabar dengan kejadian yang berlaku sejak Mac tahun lalu.
Intan yang sudah 30 tahun mendiami rumah itu berkata, dalam tempoh setahun itu tidak terhitung kebakaran kecil berlaku sama ada siang atau malam, membabitkan kerugian lebih RM10,000.
“Boleh kata hari-hari kami diganggu dan akan berlaku kebakaran sama ada langsir, rak kasut, bawah almari televisyen, memang akan ada gangguan.
“Kadangkala pecahkan cawan dan cermin, di tingkat atas tu dah takda apa dah memang kosong hinggalah kejadian terbaru kelmarin, pintu tingkat atas terbakar," katanya di sini, semalam.
Berikutan tidak tahan dengan kejadian itu, Intan sekeluarga nekad berpindah bagi mengelak kerugian lebih besar, selain khuatir akan keselamatan mereka.
“Setiap kali hendak tidur dan meninggalkan rumah, kami sering risau ada yang terbakar jadi perlu ada yang jaga rumah.
“Kalau nak tidur, kena ada yang berjaga dan bergilir-gilir la kami berjaga untuk pastikan jika ada kebakaran kita boleh padamkan,” katanya.
Menurut Intan lagi, pelbagai usaha dilakukan termasuk memanggil pengamal perubatan Islam.
“Lepas kami panggil pengamal perubatan Islam, lima bulan tidak berlaku kebakaran hinggalah kelmarin.
“Siapa yang cuba padamkan kebakaran di rumah sebelah, rumah mereka akan berlaku kebakaran dan itulah yang berlaku kepada empat jiran saya," katanya lagi.
Kejadian rumah terbakar tiba-tiba setelah membantu padamkan api itu disahkan jiran Intan, Low Sang Tung, 42 yang terkejut dengan kejadian yang menimpanya.
“Sedang saya cuba nak padamkan kebakaran di sebelah rumah Intan, isteri saya memanggil mengatakan kerusi dalam rumah tiba-tiba terbakar.
“Kemudian, pada malamnya ketika sedang bersiap-siap nak bekerja sekitar 8.30 malam, saya terkejut bila mendapati motosikal saya terbakar di bahagian depan, mujurlah ia tidak meletup, " katanya yang bingung memikirkan punca kejadian.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak turut berkongsi gambar dan maklumat mengenai kejadian api misteri itu.
Sekeping gambar yang dikongsikan kepada media memperlihatkan sebuah kerusi terbakar secara tiba-tiba dan ia turut disaksikan sendiri Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Hasrin Hasbi dan Ketua Balai Bomba Ipoh, P Samasuvam.

No comments:

Post a Comment