RAJA segala buah-buahan, durian sememangnya menjadi kegemaran sesiapa sahaja sama ada dimakan begitu sahaja atau dimasak bersama bahan lain.
Cendol durian adalah menu baharu menjadi viral sejak sebulan lalu mendapat sambutan menggalakkan.
Pemilik kedai Rojak Cendol Shah Alam, Mohd Hafez Hamid, 37, sejak berniaga, ‘cendol moden’ menjadi pilihan ramai sehingga memberikan inspirasi kepadanya untuk menambah menu baharu.
"Saya memperkenalkan cendol durian dan terkejut kerana menu tersebut mendapat sambutan menggalakkan. Cendol durian ternyata lain daripada cendol biasa. Cendol durian menjadi buruan ramai kerana ia sedap dan menyelerakan terutamanya pada waktu panas," katanya.
Tambah kuantiti durian
Mengakui stok durian agak sukar ditemui kerana belum musimnya lagi, Mohd Hafez optimis dapat memenuhi permintaan menu itu yang meningkat setiap hari.
Dia memilih durian tertentu sahaja iaitu Musang King kerana isinya lebih banyak dan biji kecil berbanding durian lain.
“Cendol durian berharga RM7 semangkuk laris dijual dan habis dalam tempoh dua jam selepas kedai dibuka. Waktu operasi bermula jam 6 petang sehingga 2 pagi namun pelanggan sentiasa ada,” katanya.
Bukan sahaja pelanggan dari sekitar Shah Alam malah luar dari Selangor seperti Johor, Kedah, Kelantan dan banyak lagi.
Mengakui tidak menyangka sambutan luar biasa, dia turut menerima kunjungan pelanggan dari Singapura.
“Konsep berbeza yang ditampilkan berbanding kedai lain, kebanyakan pelanggan akan kembali semula untuk menikmati cendol kami.
“Kami tidak menggunakan pes durian sebaliknya seulas durian setiap mangkuk pasti beri kepuasan,” katanya.
Katanya perniagaan Rojak Cendol Shah Alam bertempat di Medan Selera Delima, Seksyen 24, Shah Alam sudah dua tahun beroperasi.
Namun sejak penambahan menu cendol durian itu, jualan semakin meningkat dari hari ke hari. Apatah lagi ia menjadi viral di laman sosial, pengunjung di gerainya semakin bertambah.
Mohd Hafez berkata stok durian terpaksa ditambah daripada RM600 kepada kapasiti lebih besar.
Rasa berbeza
Menurut pekerja swasta, Khairul Fahmy Md Yasin, 38, durian cendol berbeza dengan cendol biasa. Berbanding dengan cendol pulut atau lain-lain, cendol tersebut mempunyai rasa lebih ringan dan enak.
"Mungkin santannya tidak sama dengan santan biasa, semangkuk cendol tidak mempunyai rasa muak.
"Kelainan santan sawit sangat berbeza, walaupun pekat namun dapat menghabiskan semangkuk cendol," katanya.
Selepas ia diviralkan, dia terus mencuba cendol itu dan kini menjadi pelanggan setia. Katanya, lokasi gerai pula lebih selesa berbanding tempat lain.
"Kebiasaannya kita makan cendol di tepi jalan atau padang. Namun lokasi di sini agak strategik kerana menjadi tempat lepak dan selesa makan bersama rakan," katanya.
Tambahnya, tiada lagi konsep sebegitu diterapkan di kalangan peniaga cendol. Bukan sahaja dapat menikmati cendol istimewa, lokasinya pula santai dan selesa.
Peminat tegar
Bagi pembantu kedai, Honeysyam Samuin, 38, berkata cendol durian enak dimakan ketika cuaca panas.
"Cuaca tidak menentu membuatkan saya mencari sesuatu yang boleh menghilangkan kepanasan dan dahaga. Setelah membaca mengenai populariti cendol ini, saya segera mencarinya," katanya.
Ternyata dia begitu berpuas hati dengan keenakan cendol tersebut. Katanya, bukan sahaja menghilangkan rasa haus malah dia dapat menikmati buah kegemarannya, durian.
Tambahnya, musim sekarang belum lagi musim durian dan agak sukar mencari raja buah itu.
Memandangkan dia kini dapat menikmati durian dengan cara berbeza, cendol tersebut menjadi santapan di kala ada kelapangan.
"Saya boleh dikatakan penggemar tegar kerana setiap minggu datang ke sini. Resipi lama diperbaharui seperti ini pastinya menarik orang ramai," katanya.
Dia berkata, ia sesuatu yang berbeza dan berharap rakyat Malaysia lebih kreatif dalam inovasi dan persembahan makanan.