PENDATANG baharu, Mira Filzah mengakui berbesar hati dilantik menjadi duta agensi pengelola umrah, Hadid Travel & Tours milik Adi Putra.
Bahkan, pemilik nama penuh Nur Amirah Filzah Badiozaman menyifatkan ‘lamaran’ itu diibaratkan sama seperti peribahasa bagai pucuk di cita ulam mendatang.
"Sebenarnya, saya dan ibu bapa ada berniat menunaikan umrah Ramadan tahun ini.
"Kebetulan, ibu sambut ulang tahun kelahiran pada hari pertama Ramadan. Jadi, kami merancang menyambut bulan puasa di sana.
"Lagipun, niat itu dirancang sejak Disember lalu dan saya juga tercari-cari agensi pengelola umrah yang bersesuaian,” katanya.
Pelakon berusia 23 tahun ini memberitahu, tawaran itu hadir ketika sibuk di set penggambaran drama Cinta Si Wedding Planner.
"Masa sedang bersembang dengan Adi, terkeluar cerita saya mahu ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah.
"Adi pula ada cakap yang dia akan berada di sana (Mekah) selama tiga bulan bermula April hingga Jun.
"Jadi, alang-alang ke sana, Adi ajak kami menunaikan umrah bersama. Bermula daripada situ, semua idea ini terjadi," katanya.