MENYEDARI akan luasnya tanggungjawab sebagai penyanyi, Hazama mengorak langkah menerusi Kempen 25 Rasul.
Melalui kempen itu, pemilik nama sebenar Hazama Ahmad Azmi ini menyumbangkan suaranya menerusi lagu berkonsepkan ketuhanan, KekasihNya.
Sekali lagi diberi kepercayaan untuk membawakan lagu berkonsep sedemikian, penyanyi berusia 32 tahun itu beranggapan ia sebagai platform dan ruang yang besar buatnya.
Tambahan pula, Hazama pernah terlibat dalam genre seperti ini menerusi lagu Al Nuraa...Yang 5...Yang 6..., hasil kolaborasinya dengan penyanyi popular, Mawi dan Daly Filsuf.
"Sebelum ini, saya pernah berduet menyanyikan lagu berunsur ketuhanan. Jadi, single terbaru ini dikira sebagai solo pertama dalam konsep ini.
"Salah satu sebabnya, mungkin kerana mereka percaya, saya mampu membawa karya sebegini dengan baik.
"Alhamdulillah, saya sekali lagi diberi peluang untuk menyanyikan lagu seperti ini selepas kejayaan lagu itu," katanya kepada media ketika ditemui selepas pelancaran Kempen 25 Rasul, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai KekasihNya, kata Hazama, lagu itu diinspirasikan daripada kisah perjuangan dan kehidupan Nabi Muhammad SAW yang wajar dicontohi.
"Lagu itu merupakan ciptaan sepenuhnya daripada komposer muda, Anas Amdan. Saya menjalani proses rakamannya sekitar hujung tahun lalu.
"Jujurnya, menyanyikan lagu itu adalah satu tugas yang berat apatah lagi saya membawa naskhah yang mengangkat perjuangan utusan terakhir, Nabi Muhammad SAW.
"Namun, saya menganggapnya sebagai ‘jodoh’ yang tidak mungkin akan ditolak," katanya
Mengenai Kempen 25 Rasul, Hazama menyifatkan penglibatannya itu sebagai tanggungjawabnya kepada agama, bangsa, masyarakat dan negara.
"Saya akui kebanyakan lagu-lagu nyanyian saya bertemakan cinta dan bersifat menghiburkan. Jujurnya, saya sendiri tidak mahu di cop sebagai penyanyi yang melalaikan.
"Jadi, saya rasa ini adalah tugasan yang patut saya ambil kerana ia menyampaikan perkara baik dan harus diketengahkan.
"Tambahan pula, ia adalah salah satu sumbangan saya sebagai seorang penyanyi atau hamba di muka bumi ALLAH SWT ini," katanya.
Selain Hazama, artis lain yang turut menyumbangkan suara menerusi Kempen 25 Rasul adalah Faizal Tahir menerusi lagu Adam yang diinspirasikan daripada kisah Nabi Adam a.s, Hafiz Suip (Kisah Terindah, Nabi Yusuf a.s), Altimet & Takahara Suiko (Janji, Nabi Musa a.s), Salam Musik (Berkah, Nabi Sulaiman a.s), Adira (Dalam Kegelapan, Nabi Yunus a.s) dan Aizat Amdan (Al-Masih, Nabi Isa a.s).
Selain daripada nyanyian, pendekatan menerusi pembacaan puisi moden dan tazkirah turut diguna pakai daripada 29 selebriti lain yang terlibat bersesuaian dengan gaya hidup anak muda masa kini yang sentiasa mendambakan kelainan.
Kempen 25 Rasul menemui penonton setia Astro Oasis di saluran 106 bermula 30 Mac lalu.
Cerewet pilih lagu?
Dalam pada itu, jika dilihat pembabitan Hazama dalam industri seni, boleh dikatakan hampir setiap single yang dikeluarkan oleh penyanyi kelahiran program realiti, Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) itu menerima sambutan hangat daripada peminat.
Lihat saja kejayaan beberapa lagunya seperti Simetri, Aku Mahu Dia, Penglipur Lara, Malaikat, Relakan Jiwa, Sampai Mati dan yang terbaru, Di Amaran Mama.
Pun begitu, Hazama mengakui sukar mencari sesebuah karya yang mampu mempertahankan namanya bahkan terpaksa menolak beberapa lagu yang dirasakan kurang sesuai dengan dirinya.
"Dari dulu saya sememangnya agak cerewet dan memilih setiap  karya atau lagu yang hendak diberikan kepada saya.
"Apa yang penting, saya akan memastikan liriknya bagus dan sesuai untuk disebut. Kadang-kadang, ada lagu yang bagus tetapi liriknya pula sebaliknya.
"Bagi saya, jantung adalah lagu manakala lirik merupakan elemen yang penting," katanya.
Tambahnya, niat di hatinya adalah untuk terus kekal dalam bidang nyanyian.
"Saya faham, untuk bertahan dalam industri banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Sebab itu, sejak menjadi penyanyi, saya mahu hasilkan lagu-lagu yang baik, buat kerja yang bagus dan melebihkan usaha untuk orang terus ingati diri ini.
"Saya akui agak sukar mencari lirik yang baik apatah lagi saya masih mengikuti hierarki lama," katanya.
Pada masa sama, Hazama merasakan tindakannya itu adalah sesuatu yang perlu memandangkan  ia adalah haknya sebagai penyanyi.
"Saya tidak mahu terlalu semberono dalam menyanyi kerana takut hala tuju saya dalam bidang muzik akan lari," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hazama kini dalam proses menyiapkan album keduanya yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei nanti selain menjalinkan kerjasama dengan Papa Rock, Datuk Ramli Sarip bagi merakamkan semula lagu Budaya.