SAN FRANCISCO - AMERIKA SYARIKAT. Elena Griffing, 90, baru sahaja menyambut ulang tahun ke-70 bekerja di sebuah hospital San Francisco Bay Area dan dia tidak mempunyai rancangan untuk bersara dalam masa terdekat atau suatu hari nanti.
Menurut Elena yang telah memegang beberapa jawatan yang berbeza dalam beberapa dekad pekerjaannya di Pusat Perubatan Alta Bates Summit, setiap hari di tempat kerja adalah perayaan.
"Saya tidak sabar untuk datang bekerja setiap hari, ini adalah seperti hospital saya.
"Saya menikmati setiap tugasan yang dilakukan," katanya dipetik AP.
Apa yang mengagumkan, wanita itu hanya mengambil empat hari cuti sakit dalam tempoh 70 tahun dia bekerja.
Malah kira-kira 15 tahun lalu, walaupun dia dibedah akibat penyakit apendiks, dia tetap bekerja pada keesokan harinya.
"Itu bukan masalah besar. Tangan saya tidak ada masalah, dan saya masih boleh menaip dan melakukan kerja yang sepatutnya saya lakukan,"ujarnya.
Wanita itu memulakan tugas pertamanya pada 10 April, 1946 ketika berusia 20 tahun. Pada ketika itu hospital itu dikenali sebagai Hospital Komuniti Alta Bates.
Elena memegang beberapa jawatan, antaranya sebagai patologi, endokrinologi dan kini dia bertugas sebagai Wakil Perhubungan Pesakit.