KOTA BHARU - Paras sungai yang rendah ekoran cuaca panas dan kering menyebabkan air laut mula memasuki kebanyakan sungai di negeri ini.
Fenomena itu dikesan apabila pemancing turut memperoleh pelbagai spesies ikan laut sejak kebelakangan ini.
Tinjauan Sinar Harian di Sungai Pengkalan Datu mendapati, terdapat beberapa spesies ikan air masin yang dipercayai memasuki aliran sungai berkenaan antaranya gelama, selangat dan pari.
Pemancing, Safarih Ibrahim, 40 mengakui, terdapat spesies ikan air masin tertentu di sungai berkenaan yang dipercayai masuk bersama air laut ke dalam aliran sungai.
“Memang ada ikan-ikan seperti gelama, kekek, kitan, anak duri dan pari di sungai ini, banyak faktor mempengaruhi, selain El-Nino, mungkin juga kerana ia bersempadan dengan laut,” katanya ketika ditemui di Jambatan Pak Nik Lah.
Menurutnya, penghujung Februari lalu dikatakan antara waktu paling banyak ikan air masin di dapati di sungai berkenaan sehingga menarik lebih ramai kaki pancing ke kawasan itu.
Seorang lagi pemancing, Zulfakar Abdul Khalid, 17, mengakui kewujudan ikan laut di sungai berkenaan, namun menolak kemungkinan ia disebabkan fenomena El-Nino semata- mata.
“Sebelum ini pun ada spesies ikan- ikan tersebut di sini, nak dikatakan kerana El-Nino, tak juga,” katanya.
El-Nino adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku dalam tempoh enam bulan berturut-turut setiap dua hingga empat tahun di timur Lautan Pasifik.
Ia boleh menyebabkan rantaian perubahan iklim berlaku di seluruh dunia dan antara kesannya ialah hujan lebat di sesetengah kawasan, sementara di kawasan lain, berlaku kemarau berpanjangan.