KUALA TERENGGANU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu mengesahkan penemuan seekor buaya di Ladang Rakyat Lembah Bidong, Setiu.
Dalam masa sama turut mengesahkan gambar penangkapan seekor buaya yang menjadi viral di laman sosial sejak kelmarin adalah benar.
Pengarahnya, Mohd Hasdi Husin berkata, siasatan dijalankan mendapati buaya julung-julung yang ditemui itu dipercayai tersesat ke parit di ladang berkenaan.
Katanya, reptilia sepanjang 2.5 meter itu ditemui pekerja ladang kira-kira jam 8.20 pagi kelmarin sebelum ia ditangkap dan dilepaskan ke habitat asalnya iaitu ke Sungai Buaya yang berada dalam kawasan ladang tersebut pada jam 9.26 pagi hari sama.
“Saya nasihatkan orang ramai jangan ambil tindakan sendiri. Hubungi pejabat Perhilitan di talian 09-6221460 bagi membolehkan tindakan lanjut diambil,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.
Menurut Mohd Hasdi, buaya julung-julung adalah reptilia yang dilindungi sepenuhnya dan mana-mana individu yang memiliki atau memburunya boleh disiasat mengikut Seksyen 68 (2) (c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana memburu, menyimpan atau memiliki hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.
Bagi kesalahan itu, individu terlibat berdepan hukuman denda tidak kurang RM100,000 dan tidak melebihi RM500,000 dan dipenjara sehingga lima tahun, jika disabitkan kesalahan.