CUACA panas dan keadaan sungai yang surut tidak menjejaskan kaki pancing untuk meneruskan minat dan aktiviti mereka di lokasi tumpuan mereka sebelum ini.
Arus sungai yang perlahan dalam cuaca panas ini antara faktor menjadikan kaki pancing lebih leka menunggu ikan.
Mereka yang ditemui mendakwa keadaan sungai di daerah ini tidak surut mendadak dan tiada masalah besar untuk memancing sebaliknya perlu menjaga kesihatan bagi mengelakkan strok haba.
Mohammad Hasrun Harun, 26 berkata, dia memancing setiap hari di beberapa lokasi pilihan di pinggir laut sekitar Gebeng tetapi memakai pakaian yang menutup keseluruhan badan bagi mengelak panas terkena kulit.
“Kita tak kisah cuaca panas, hari-hari pun memancing. Sungai pun tidak banyak surut dan masih selesa menunggu ikan,” katanya yang turut memancing di kawasan laut.
Mohammad Hasrun melakukan aktiviti itu sejak 20 tahun lalu dan merasakan keadaan masih sama seperti sebelum ini walaupun cuaca panas.
“Keadaan masih sama kerana pergerakan ikan bergantung pada arus, tapi kalau hujan lebat dan angin kuat, ikan akan kurang,” katanya.
Seorang lagi pemancing tegar, Mohamad Nurul Faizal Mohamad Nor Rohallah, 30, berkata, ada sungai yang surut tetapi tidak ketara dan masih boleh memancing.
Menurutnya, kebiasaannya dia akan memancing pada Sabtu dan Isnin di kawasan Sungai Lembing, bawah jambatan Tanjung Lumpur dan sungai Taman Esplanade.
Mohamad Nurul berkata, keadaan di Sungai Lembing ketika ini surut tetapi masih ada baung dan sebarau.
“Saya boleh memancing bermula jam 5 petang sampai 8 pagi esoknya tapi bergantung pada keadaan. Paling kurang sejam atau dua jam,” katanya.