MACHANG - Teknologi fertigasi bukan sahaja mampu meningkatkan hasil pengeluaran dengan berganda tetapi ia juga satu kaedah penanaman yang mudah, mengelak serangan musuh perosak dan pada masa yang sama kos buruh dapat dikurangkan.
Kaedah penanaman melalui  pemberian baja lengkap kepada tanaman dalam bentuk larutan dan disalurkan ke zon akar melalui sistem pengairan titis itu sudah mencapai inovasi sistem fertigasi secara gantung mula diperkenalkan.
Fertigasi secara gantung menggunakan kaedah seperti fertigasi biasa tetapi kaedah pelaksanaannya sedikit berbeza apabila polibegnya digantung pada sistem para.
Menyahut transformasi teknologi fertigasi tersebut, Suhaimi  Che Mohamed di Kampung Raja, dekat sini  mengusahakan 5,000 pokok cili solok  di kawasan tanah sawah milik keluarganya.
Katanya, sekalipun pertama kali mengusahakan tanaman menggunakan teknologi tersebut, dia tidak kekok dan sedaya upaya melaksanakannya sebaik mungkin.
“Pengalaman bekerja makan gaji selama 10 tahun dalam bidang ini diaplikasikan sepenuhnya bagi menjayakan projek pertama ini dan saya banyak mendapatkan bimbingan daripada Pejabat Pertanian Machang.
“Penjagaan fertigasi gantung ini lebih rumit berbanding fertigasi biasa namun lebih mudah untuk mengawal penyakit dan boleh diusahakan di mana sahaja termasuk kawasan banjir,” katanya.
Suhaimi berkata, dia nekad mengusahakan tanaman cili tersebut dengan berbekalkan pengalaman yang ada dalam usaha meningkatkan ekonomi keluarga.
Katanya, sebelum ini, dia mengusahakan tanaman padi di kawasan sawah tersebut selain bekerja makan gaji namun hasilnya tidak memberangsangkan akibat masalah bekalan air.
Tambahnya, tanaman menggunakan kaedah fertigasi lebih mudah dan tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai sekali gus menjimatkan kos buruh.
“Selain cili, saya bercadang mempelbagaikan tanaman ini mengikut permintaan pasaran sekali gus mengembangkan usaha pertanian ini.
"Saya berterima kasih kepada Pejabat Pertanian Machang yang banyak membantu saya menjayakan projek ini termasuk  bantuan dalam bentuk kemudahan dan anak benih," katanya.
Tambah Suhaimi, sekalipun tanaman tersebut tidak rumit namun banyak menghabiskan masa di kebun tersebut dalam usaha memastikan  pokok tumbuh dengan subur dan segar.
Katanya, projek sulung tersebut penting dalam menentukan hala tujunya dalam bidang pertanian dan bercadang untuk mengembangkannya pada masa akan datang.