GONG BADAK – Berkongsi rezeki. Itulah pendekatan diambil pemilik Warung Rimba Kenchana di Gong Badak apabila memilih Jumaat untuk menyediakan makanan percuma kepada semua pelanggan.
Bagaimanapun, pemilik warung itu tidak bersendirian apabila hasrat asal untuk memberi makanan percuma kepada pelanggan, bertukar sebaliknya apabila setiap pelanggan tetap mahu membayar, lalu wujudlah tabung khas untuk membantu golongan memerlukan.
Usaha murni pasangan suami isteri, Azma Hadi Ismail@Alias, 43 dan Nik Mariati Nik Hitam, 39, sejak dua tahun lalu, bukan sahaja mendapat pujian ramai, malah turut memberi peluang kepada pelanggan untuk menderma.
Pelanggan tetap mahu bayar harga makanan
Menurut Azma Hadi, idea untuk memberikan makanan percuma kepada pelanggan pada setiap Jumaat dibuat bagi membantu menambah pahala ahli keluarga yang meninggal dunia.
“Saya fikir inilah langkah terbaik dapat saya sumbangkan kepada ahli keluarga yang telah tiada. Saya tidak rasa rugi atau terbeban. Sebagai peniaga, selain mencari keuntungan, kita juga perlu mengembalikan keuntungan diperoleh kepada mereka yang memerlukan.
“Bagaimanapun, meskipun kami memaklumkan untuk sedia makanan percuma, tetapi kebanyakan pelanggan enggan berbuat demikian dan tetap mahu membayar. Dengan itu wujudlah satu tabung untuk golongan memerlukan, hasil sumbangan pelanggan yang datang setiap Jumaat,” katanya.
Azma Hadi berkata, walaupun usaha mewujudkan tabung itu tiada dalam perancangan sebelum ini, namun dia tetap bersyukur kerana dapat membuka peluang kepada pelanggan untuk beramal jariah.
“Disebabkan tabung itu juga, kami memutuskan untuk menggunakan hasil derma bagi membantu golongan memerlukan di sini, selain menyumbangkan RM600 setiap bulan kepada tabung pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) untuk penuntut kurang berkemampuan.
“Kita akan mula sampaikan sumbangan kepada penuntut Unisza mulai bulan ini. Kita harap sumbangan ini akan diberikan secara berterusan,” katanya yang merupakan bekas pekerja cari gali minyak.
Menurutnya lagi, selain menjual roti canai, warungnya turut menyediakan sarapan yang lain seperti nasi lemak, nasi minyak dan sebagainya.
“Kira-kira 250 roti canai disediakan untuk pelanggan pada setiap Jumaat, malah nasi lemak sebanyak sembilan kilogram turut habis,” katanya.
Usaha peniaga dipuji
Sementara itu, pelanggan tetap warung berkenaan, Rohaya Abd Rashid, 46, turut memuji usaha murni dilakukan pasangan suami isteri itu.
“Saya sangat teruja dan terharu dengan usaha murni mereka kerana tidak semua peniaga sanggup mengambil risiko sebegini, namun pemilik warung ini jelas mempunyai jiwa dan juga hati yang murni.
“Dengan cara ini, mereka turut menggalakkan pelanggan menderma, di samping membantu komuniti setempat yang memerlukan dengan hasil derma disumbangkan pelanggan,” katanya.
Seorang lagi pelanggan, Sharifah Maizatul Akmal Syed Hamid, 41, berkata, selain keistimewaan roti canai disediakan di warung berkenaan, jiwa murni ditunjukkan pemiliknya menjadi faktor ramai pelanggan datang.
“Pada asalnya, saya bercadang bawa keluarga makan di tempat lain, namun setelah menyedari hari ini adalah Jumaat dan warung ini menyediakan makanan percuma, saya menukar perancangan.
“Kita sebagai umat Islam pasti tidak melepaskan peluang untuk bersedekah, apatah lagi Jumaat merupakan penghulu segala hari,” katanya yang sudah dua kali menikmati sarapan di warung berkenaan.