SELINSING - Inisiatif solat sunat Istisqa di Bukit Merah minggu lalu membawa berkat kepada penduduk Kampung Parit Tiga, Jalan Gula, di sini apabila dikejutkan dengan kemunculan mata air di tengah sawah padi merekah akibat kemarau.
Tatkala petani di kawasan Bagan Serai kini bingung memikirkan masalah bekalan air kritikal di Kolam Bukit Merah bakal menjejaskan musim penanaman padi kali ini, keajaiban mata air keluar dari celah kawasan sawah padi kering-kontang pastinya memberi keinsafan terhadap kekuasaan ALLAH SWT dalam menentukan rezeki manusia.
Pemilik sawah, Shuaib Masran, 44, berkata, dia menyedari kewujudan mata air itu sewaktu menjalankan kerja menabur garam di sawah miliknya bagi tujuan penyuburan tanah sebelum memulakan proses menanam padi.
Menurutnya, pada Sabtu lalu lebih kurang jam 10 pagi, dia hairan mendapati keadaan tanah ditengah-tengah sawah padinya basah dan lembap.
"Waktu itu saya sedang tabur garam dan terperasan tanah sawah padi di bahagian tengah lembap namun kawasan lain kering-kontang.
"Bila diperiksa, saya terkejut dapati punca air seakan-akan mata air keluar secara berterusan dari tengah kawasan sawah padi," katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Shuaib berkata, pada Khamis lalu, dia sudah menjalankan kerja menabur garam di lokasi penemuan, namun yakin tidak menemui langsung sebarang punca air.
"Dah lebih 30 tahun saya kerjakan sawah padi di sini, tapi tak pernah jumpa kejadian seperti ini.
"Saya percaya kejadian ini kebesaran ALLAH SWT dan pastinya ada hikmah di saat bekalan air amat berkurangan bagi tujuan pertanian di Bagan Serai pada musim kemarau ini," katanya.
Katanya, pada masa kini, dia memutuskan untuk membiarkan saliran mata air terus menyalurkan bekalan air di situ seperti biasa dan tidak bercadang melakukan sesuatu sebelum dikaji agensi kerajaan berkaitan.
"Saya bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat mengkaji punca mata wujudnya mata air itu demi kebaikan masa depan," katanya.
Pemandu jentani, Mohd Nazri Rosli, 28, berkata, dia pernah melakukan kerja membajak tanah di sawah padi milik Shuaib dan tidak menemukan mata air itu.
"Sepanjang lima tahun lakukan kerja tanah sawah padi di sini, itulah pertama kali saya lihat fenomena mata air muncul di tengah-tengah tanah sawah padi gersang lebih-lebih lagi pada musim kemarau.
"Mulanya saya tak percaya tapi bila seluk tangan ke dalam lubang punca air itu, saya terkejut ada lubang sebesar botol susu dan air air mengalir terus dari dasar," katanya.
Mohd Nazri berkata, air yang keluar dari celah lubang itu begitu sejuk dan berbau seperti belerang.