MARANG – Mutakhir ini ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak-anak ke pusat pengajian berteraskan agama demi melihat mereka berjaya di dunia serta akhirat dan Madrasah Tahfiz Al-Tahiri merupakan salah satu pusat pengajian yang menyediakan platform berkenaan.
Pengasasnya, Ismail Ngah, 76, memaklumkan, pada peringkat awal madrasah di Kampung Gelugur Haji Tahir dalam kawasan Dun Limbat, di sini, itu ditubuhkan oleh beliau dan rakan-rakan kerana memikirkan pelajaran agama anak muda yang bakal berdepan kehidupan mencabar.
Menurutnya, dari situlah tercetus idea menubuhkan Madrasah Tahfiz Al-Tahiri yang pada mulanya hanya menumpang di tingkat atas bangunan Masjid Gelugur Haji Tahir dengan 20 pelajar serta dua tenaga pengajar sejak 2012 hingga kini.
"Kini pihak pengurusan madrasah berjaya bina sebuah bangunan kekal setinggi empat tingkat yang mampu menampung sehingga 100 pelajar pada satu-satu masa.
 "Bagaimanapun, pihak pengurusan madrasah kekurangan sumber kewangan bagi menyiapkan (bahagian dalam) bangunan," katanya.
Ismail berkata, pihak madrasah masih memerlukan dana sebanyak RM1 juta bagi mempersiapkan kemudahan dalam bangunan yang lengkap, sempurna, selesa dan selamat untuk pelajar.
"Kita harap umat Islam dalam dan luar negara dapat beri sumbangan bagi menyiapkan bangunan ini. Mereka boleh salurkan sumbangan atau derma peribadi ke akaun Bank Islam bernombor 13053010007709 atas nama Pertubuhan Maahad Tahfiz al-Quran Al-Tahiri.
"Untuk sebarang pertanyaan orang ramai boleh hubungi saya di talian 013-930 0943 atau Abdul Ghaffar di talian 019-954 0667," katanya.