Sunday 10 April 2016

Pembuatan bot tradisional makin suram



Pembuatan bot tradisional makin suram
Rupa bentuk bot dari jenis pukat tunda yang kini masih dalam pembinaan di bengkel Shafie di Kampung Pulau Duyong.
JIKA awal 1960-an hingga 1970-an dahulu, Pulau Duyong, Kuala Terengganu dimeriahkan oleh hampir 50 pengusaha bot tradisional, kini keadaan telah seratus peratus berubah dan hanya terdapat hanya tiga pengusaha bot yang masih aktif.
Selain pernah menjadi lokasi penganjuran kejohanan pelayaran peringkat antarabangsa, perkampungan itu terkenal dengan perusahaan bot tradisional yang diwarisi turun temurun oleh masyarakat setempat di situ.
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan salah satu warisan unggul masyarakat Pulau Duyong itu semakin pupus, antaranya tiada golongan pelapis yang mewarisi dan mahir dengan hasil kerja halus dan berkualiti tinggi itu.
Menurut pengusaha bot tradisional, Shafie Abdullah, 66, selain masalah kurangnya golongan pelapis yang mahir ilmu pertukangan bot, kurangnya projek atau tempahan dan lesen bot yang dibekukan menyebabkan industri itu kini semakin suram.
“Bila tiada projek atau tempahan bot, maka tiadalah pelapis yang dilatih untuk membuat bot kerana untuk membuat sesebuah bot memerlukan kos yang besar, tambahan pula harga kayu dan alatan lain juga semakin meningkat.
“Kalau sekadar mengeluarkan modal untuk melatih, kita tidak mampu kerana barang-barang untuk pembinaan bot perlu ada. Jika sekadar mencatat atau menulis sahaja, tanpa praktikal, ilmu pembuatan bot itu tidak akan sampai,” katanya.
Menurut Shafie, walaupun usianya kini semakin menginjak, dia masih lagi memperjuangkan industri pembuatan bot tradisional yang diwarisi turun temurun itu dan kini ia diwarisi kepada salah seorang dari lapan anaknya, Borhanuddin, 30.
Berpengalaman selama 40 tahun dalam pembuatan bot tradisional, Shafie berkata, terlalu banyak pengalaman dan asam garam ditempuhinya sejak berkecimpung dalam industri itu bermula usia 25 tahun.
Katanya, semuanya bermula sejak dia mengikuti ayahnya, Abdullah Embong membuat kerja-kerja pembuatan perahu besar atau bot tradisional dan belajar daripada ilmu yang diwarisi bapanya itu dari orang tua terdahulu.
Katanya, apa yang menarik dalam pembuatan bot tradisional ini ialah ia tidak memerlukan pelan, malah orang dahulu kala juga tiada menyimpan sebarang catatan mengenai cara-cara membuat bot dan ilmu itu hanya diwarisi turun temurun.
“Orang dahulu buat bot tak pakai pelan, cuma hanya perlu tahu jenis bot apa, keluasan, dan beberapa perkara lain. Ini yang sukar dan nak belajar ilmu buat bot bukan makan masa setahun dua, ia perlu dipraktikkan secara berterusan.
“Orang dulu buat bot besar pun makan masa bertahun-tahun ada yang cecah tiga hingga empat tahun bagi sebuah bot besar kerana pembuatan bot itu semuanya menggunakan cara manual. Kita kini hanya ambil masa setahun lebih bagi siapkan sebuah bot besar dengan kemudahan yang ada sekarang.
“Namun, kini kita sukar cari golongan pelapis atau tukang buat bot. Ada golongan muda yang berminat dalam pembuatan ini tetapi tidak ramai. Kawan-kawan yang buat bot sama dengan saya dulu pun kebanyakannya dah tiada. Pendek kata, jika tiada tempahan, tiada projek, industri bot tradisional mungkin akan pupus terus” katanya.
Kos cecah jutaan ringgit
Shafie berkata, antara bot terkenal yang terbaik dan paling praktikal digunakan ialah bot pantat potong kerana ia adalah model paling stabil, kukuh, seimbang dan praktikal untuk membawa ikan atau digunakan sebagai bot pelancongan.
Katanya, selain bot pantat potong, terdapat juga bot atau perahu jenis sekoci, bedar dan pinis yang masih mendapat permintaan tetapi agak kurang.
“20 tahun lalu saya pernah hasilkan bot pantat potong yang paling besar iaitu 85 kaki bagi lesen C2 dan sekarang saya juga masih lagi membina bot jenis ini bagi tempahan pelanggan dengan menggunakan 25 tan kayu jenis cengal.
“Kayu jenis cengal sekarang pun sukar didapati dan semakin pupus. Dengar kata harga kayu akan naik sekali ganda menjangkau belasan ribu ringgit bagi satu tan berbanding harga terkini RM7,000 bagi satu tan. Bayangkan kalau perlu gunakan berpuluh-puluh tan kayu, memang satu kos yang besar dan akan cecah jutaan ringgit bagi sebuah bot,” katanya.
Kepuasan siapkan bot
Sementara itu, Wan Nordin Wan Abdullah, 60, berkata, keseronokan membuat bot tradisional ialah sekiranya terdapat tempahan dan projek pembuatan bot kerana membuktikan warisan ini hidup dan masih ada walaupun peredaran semasa semakin berubah.
Wan Nordin yang terkenal dalam seni pelayaran berkata, sebelum ini dia pernah membuat tiga bot tradisional yang ditempah untuk Pine Wood Malaysia Production Film bagi filem The Adventures of Marco Polo pada 2010.
“Ada kepuasan bila kita dapat siapkan bot yang sememangnya asli walaupun ia akan digunakan untuk penggambaran filem. Ia membuktikan seni itu masih utuh dan kekal dalam kalangan generasi di negara ini khususnya di Pulau Duyong yang sememangnya terkenal sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Mengulas mengenai permintaan oleh penduduk tempatan dan pihak luar, katanya, permintaan semakin berkurangan memandangkan kos bahan yang semakin meningkat dan kurangnya generasi pelapis.
“Untuk buat sebuah bot ia makan masa agak lama kerana kayu perlu dikeringkan terlebih dahulu dalam tempoh lima hingga enam bulan sebelum dibentuk dan digunakan dalam pembinaan bot,” katanya.

No comments:

Post a Comment