JOHOR BAHRU - “Sepanjang saya bekerja, pengalaman ternampak wanita berambut panjang meleret hingga ke tanah, berkebaya hijau dan berdiri di dalam gerabak lama adalah pengalaman tidak dapat dilupakan.” Itu pengakuan Pembantu Muzium Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Ibrahim Yusof, 50.
Menceritakan kisah mistik dilaluinya tiga tahun lalu, Ibrahim mengakui, ia bukan kali pertama ‘diganggu’ ketika bekerja, malah rakan sekerjanya juga pernah melalui pengalaman sama memandangkan bangunan stesen kereta api lama yang dijadikan muzium itu agak sunyi.
Katanya, semasa kejadian itu dia baru tamat bekerja kira-kira jam 7.30 malam dan ternampak wanita berambut panjang di gerabak yang dahulunya digunakan sebagai tempat memasak, dan meletakkan barangan kakitangan.
"Ketika itu, saya mahu ke tandas..semasa melalui gerabak lama, pintunya terbuka sedikit. Saya ternampak melalui ‘ekor mata’, seorang wanita berambut panjang berdiri di tepi pintu gerabak sedang memerhatikan saya.
“Terdetik dalam hati, siapakah wanita yang berambut panjang sehingga mencecah tanah berada di gerabak itu pada waktu tersebut memandangkan ketika itu, semua kakitangan telah pulang.
“Ketika keluar dari tandas, kelibat wanita dah tiada, dan saya anggap gangguan seperti ini adalah lumrah dan cabaran buat kami, namun ia tidak melunturkan semangat untuk bekerja kerana hanya berniat untuk mencari rezeki," katanya.
Bangunan Muzium KTMB dahulunya adalah Stesen Johor Bahru lama yang beroperasi dari 1 September 1932 hingga 31 Oktober dan kemudiannya operasi dipindahkan di bangunan JB sentral bersebelahan.
Menurut Ibrahim, dia juga sering terdengar bunyi radio, sedangkan tiada kakitangan yang membawa radio.
“Rakan sekerja saya juga pernah cerita dia ternampak wanita berambut panjang berkebaya hijau ketika bertugas,” katanya yang bekerja dengan KTMB sejak 25 tahun lalu.
Sementara itu, Pembantu Tadbir Rendah, Muhammad Faizul Mahat, 22, yang bertugas sejak setahun lalu mengakui, sering terlihat kelibat seseorang di belakangnya ketika bersendirian membersihkan barangan di muzium berkenaan.
“Ketika leka bersihkan barangan di muzium seorang diri, saya ternampak kelibat seseorang di belakang tetapi bila saya menoleh, tiada sesiapa.
“Memang agak terkejut kerana baru sahaja bekerja, namun lama-kelamaan saya dah biasa dan anggap cabaran ketika bertugas,” katanya.