KETIKA orang ramai mengeluh menghadapi harga barang semakin meningkat, Restoran Aiman Sofea di Tapah menawarkan ‘nasi bajet’ yang mempunyai tiga menu pilihan.
Dengan harga RM4 saja, pelanggan boleh memilih menu pilihan ditawarkan seperti ayam goreng berempah, ayam masak merah, ayam masak kicap, ikan keli sambal, kuah kari, sayur campur, sambal belacan dengan minuman teh o ais serta sirap diberikan percuma.
Tidak hairanlah, kedai yang baru dibuka itu kini mendapat sambutan ramai, ditambah lagi dengan rasanya yang sedap.
Pengusaha kedai terbabit, Mohd Ariff Zainol Othman, 28, berkata, selepas membuka kedai makan berhampiran dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah, nasi bajet mendapat sambutan dalam kalangan pelajar dan orang ramai.
“Selain mempunyai tiga menu bajet yang berbeza, kita juga memberi air teh o ais dan sirap ais secara percuma dan jika mereka makan di kedai, pelanggan boleh tambah air secara percuma,” katanya.
Mohd Ariff berkata, walaupun harga yang ditawarkan murah, dia masih mendapat untung.
“Saya hanya dapat untung sedikit sahaja kerana harga barang sudah naik sekarang. Walaupun sedikit, saya tetap bersyukur kerana saya berniaga dengan mengamalkan konsep ‘memberi’ kepada pelanggan.
“Keunikan nasi bajet saya berbanding peniaga lain ialah saya menawarkan tiga menu pilihan setiap hari dan nasi juga diberi lebih dengan harga sama,” katanya.