RAMBUT adalah takhta bagi jejaka manakala mahkota bagi wanita. Tukang gunting rambut adalah kerjaya penting sejak zaman berzaman kerana ia mempunyai permintaan tinggi untuk membantu sesiapa sahaja kelihatan berketerampilan.
Kerjaya ini memerlukan kemahiran memotong, mencukur, merapi, membuang rambut, janggut dan misai.
Pelbagai konsep perniagaan dilaksanakan antaranya berkonsepkan tradisional dan moden.
Kedai gunting rambut tradisional lebih santai, mudah, cepat dan dikhaskan kepada lelaki untuk merapikan diri serta wajah mereka.
Khidmat menggunting rambut di kedai kebiasaannya lebih murah berbanding di salon dan tidak dinafikan golongan muda lebih selesa memotong rambut di situ.
Seiring dengan peredaran zaman dan perubahan fesyen, perniagaan gunting rambut menjadi satu karier kerana ia memberikan pendapatan lumayan dan memerlukan kemahiran tinggi untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan.
Generasi ketiga kekal tradisi
WALAUPUN sudah memasuki generasi ketiga, Kedai Gunting Rambut Hassim masih berdiri teguh setelah ia dibuka sejak 1983 di bangunan PKNS, Shah Alam.
Biarpun pelanggan silih berganti dan masa berputar, kedai tersebut juga tidak pernah menggantikan sebarang peralatan di situ.
Bagi Mohd Hasrizal Hassim, 27, mengambil alih pengurusan kedai daripada bapanya, Hassim Bidun yang kini jarang berada di kedai tersebut.
“Sekali sekala bapa ada singgah di kedai bagi memenuhi permintaan pelanggan setia.
“Lagipun kami bukan sahaja memiliki beberapa kedai di Shah Alam dan Klang, bapa mempunyai komitmen terhadap semua kedainya,” katanya.
Perjalanan sebagai tukang gunting bermula daripada arwah datuknya secara kecil-kecilan di rumah sehingga mewarisi bakat tersebut kepada ayahnya.
Dia berkata, ayahnya berhijrah ke Shah Alam dengan berbekalkan modal RM15,000 hasil simpanan untuk membuka kedai gunting rambut.
“Di sini, cara pembayaran gaji pekerja berbeza kerana bergantung kepada jumlah pelanggan.
“Pendapatan dibahagi kepada 60 peratus tukang gunting dan selebihnya kepada kami. Harga gunting rambut pula masih sama seperti dahulu, paling mahal RM10 sahaja ,” katanya.
Hasrizal berkata,  pelanggannya bukan sahaja terdiri daripada mereka yang sudah berumur, bahkan kanak-kanak berusia 1 tahun turut menggunakan perkhidmatan mereka.
Gunting rambut dalam van
Bekas guru agama, Abd Malik Zakaria menarik perhatian ramai apabila menjadikan van miliknya sebagai kedai gunting rambut bergerak di sekitar Pendang dan Alor Setar, Kedah.
Abd Malik yang juga Pengasas Mobile Corner Barber memanfaatkan pengalaman lebih 20 tahun kemahiran dan pengalaman menggunting rambut memulakan perkhidmatan kedai gunting rambut bergerak sejak awal tahun lalu.
“Saya mahu melakukan perubahan kerana sebelum ini saya menawarkan perkhidmatan gunting rambut hanya di kedai yang terletak di Gajah Mati, Kedah dan mempunyai pelanggan tetap yang terdiri daripada penduduk sekitar.
"Jika selama ini, pelanggan bertemu saya, kini saya pula bertemu pelanggan,” katanya.
Menurutnya, antara lokasi dikunjungi kawasan pasar pagi atau lebih dikenali sebagai nat yang menjadi tumpuan orang ramai iaitu Bukit Jenun, Kota Sarang Semut, Tanah Merah, Sungai Tiang, Kubur Panjang, Pendang, Simpang Empat dan Alor Setar serta Langgar.
“Saya berkunjung ke kawasan tersebut mengikut jadual ditetapkan. Saya bekerja setiap hari seawal jam 8 pagi dan pulang pada jam 10 malam.
“Alhamdulillah, saya menerima sambutan menggalakkan iaitu lebih 20 pelanggan pada setiap hari. Pelanggan akan meningkat terutama musim perayaan dan sesi persekolahan bermula,” katanya.