BANGKOK - THAILAND. Tiga pelajar sebuah universiti perubatan di Thailand telah disenarai hitam selepas tertangkap menggunakan kamera pengintip yang disambungkan dengan jam pintar untuk menipu dalam peperiksaan.
Rektor Universiti Rangsit, Arthit Ourairat memuat naik gambar peranti penipuan berteknologi canggih itu di laman sosial Facebook dan mengumumkan kertas ujian tersebut dibatalkan selepas peristiwa berkenaan terbongkar.
"Saya mahu orang ramai sedar untuk lebih berhati-hati terutamanya dalam peperiksaan perubatan di mana terdapat permintaan yang tinggi di kalangan pelajar, tetapi tidak banyak kekosongan," katanya turut memberitahu setiap pelajar didenda 800,000 baht (RM91,000).
Difahamkan, kesemua tertuduh memakai cermin mata dengan kamera tanpa wayar yang tertanam di bahagian bingkai untuk menghantar imej kepada rakan mereka bagi mendapatkan jawapan.