BATU PAHAT - Seorang lelaki ditangkap Jawatankuasa Masjid Sabak Uni, Parit Raja, di sini, kerana disyaki mencuri duit tabung masjid berkenaan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian itu berlaku ketika semua jemaah sudah pulang selepas menunaikan solat Zuhur.
“Suspek berusia sekitar 20-an dan rakannya dilihat saksi dalam keadaan mencurigakan dan bertindak beritahu kenalannya, sebelum mereka cuba menangkap suspek.
“Suspek berjaya ditangkap walaupun cuba melarikan diri, manakala rakannya berjaya meloloskan diri. Saksi kemudiannya menyerahkan suspek kepada polis,” katanya.
Menurut Din, ketika kejadian pintu masjid tidak berkunci, sekali gus memudahkan suspek dan rakannya masuk ke ruang solat.
“Suspek dan rakannya yang telah masuk ke dalam masjid menggunakan sebatang lidi yang telah diletakkan gam di hujungnya, untuk 'memancing' duit dalam tabung.
“Semasa tangkapan dilakukan oleh saksi bersama kenalannya, mereka menjumpai sejumlah wang sebanyak RM226 dipercayai hasil daripada 'memancing' duit dari tabung masjid berkenaan.
“Mereka kemudiannya membawa suspek ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya.