JOHOR BAHRU – Pasukan dari Johor mengungguli Piala Emas Temasya Pantun Piala Seri Melaka PISMA 2.0 Terbuka Nusantara baru-baru ini.
Pasukan Genta Sri Habab daripada SMK Tun Habab, Kota Tinggi ini sekali lagi  merangkul kemenangan dengan menjadi juara anjuran bersama Teratak Pujangga Makrifat Melayu TPMM dan juga Multimedia Universiti Kampus Melaka.
Jurulatih, Nurashikin Ishak berkata kecemerlangan pasukan ini menyerlah dengan kejayaan sebelum ini memenangi Naib Johan Pesta Pantun Integrasi Budaya UKM 2016.
“Kami terus membawa semangat Bangsa Johor dalam memartabatkan seni Budaya Melayu,” katanya.
Pasukan terdiri daripada pemantun utama, Nik Zafifah Nik Mustaffa, 17, pemantun kedua, Mohd Zaki Ikhwan Jehwan, 17, diikuti Sharifah Nabilah Syed Hood, 17, dan pemantun simpanan, Harith Fazilah Sulaiman, 17.
Menariknya dalam penganjuran kali ini adalah setiap arena pantun dipertandingkan dalam rumah rumah tradisional negeri di Taman Mini Malaysia Melaka di mana sebanyak lima arena dipertandingkan sebelum pasukan yang memperoleh kemenangan terbanyak dan menduduki carta 8 pasukan terbaik akan meneruskan perjuangan peringkat suku akhir.
Arena 5 agak menarik perjalanannya. Dengan pasukan dipecahkan dan semua pemantun dari kategori Atas 18 tahun dan Bawah 18 tahun dicampurkan dalam 1.
Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada pemenang.