NAMA Faiz Dickie dalam  kalangan pelayar laman sosial Instagram sudah tidak asing lagi.  Ditambah dengan watak-watak seperti Kak Leha Bunting, Sarabanon, Naabella Hijabis dan Cikyam, menaikkan lagi nama pemuda berusia 28 tahun ini.
Sudah mempunyai lebih 600,000 pengikut di laman sosial berkenaan, parodi yang banyak 'menggeletek' masyarakat dengan isu-isu semasa yang diketengahkan mendapat perhatian peminat laman sosial berkenaan.
Karakter yang dibawakan ternyata menjadi 'trend'dan kini namanya sudah popular seperti selebriti.
Di sebalik kelincahannya beraksi di hadapan kameranya, Faiz Dickie atau nama sebenarnya Mohd Nasrul Faiz Abu Azal mengakui apa yang dilakukan hanyalah untuk hiburan dirinya sendiri.
"Dulu saya tak berani beraksi di depan kamera. Tetapi tuntutan tugas saya yang agak berat sebelum ini, saya berfikir sesuatu untuk menggembirakan hati
“Ketika bergelar wartawan, kehidupan saya berhadapan perkara serius dan penuh cabaran. Jadi saya perlukan sesuatu untuk menghiburkan diri.
"Bermula daripada detik itulah saya cuba membuat video-video parodi yang pada asalnya hanya untuk mengenakan kawan terdekat. Tapi tak sangka ia mendapat perhatian,” katanya yang pernah menjadi wartawan meja jenayah di sebuah akhbar sebelum ini.
Parodi mengenai hijabista yang dihasilkan mendapat respons pelbagai pihak, Faiz berkata, ada yang suka dan ada juga tidak.
"Video tersebut sekadar gurauan semata-mata,” katanya.
Katanya, menghasilkan pelbagai parodi adalah cara untuknya meluahkan dan menyampaikan isi hati.
“Saya rasa ini medium terbaik untuk saya berkongsi apa yang saya rasa kerana Instagram sering dan mudah mendapat perhatian.
“Saya bukan jenis yang akan menegur seseorang secara terus, saya rasa inilah yang terbaik boleh dilakukan,” katanya.
Berkongsi mengenai isu-isu yang diangkat Faiz selesa menampilkan kisah-kisah yang tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.
“Biasanya saya akan minta pendapat rakan-rakan terlebih dahulu, sesuai atau tidak.
“Jika tidak, saya tidak akan melakukannya. Bagi saya, bergurau juga ada batasnya. Jika sudah memalukan orang lain, ia bukan perkara baik.
“Kerana itu, saya mula meninggalkan minat saya membuat video parodi seperti sebelum ini dan mencari satu-satu tajuk sahaja,” katanya.
Mengakui parodi iklan produk makanan paling mendapat banyak like, kata Faiz, video tersebut meninggalkan kesan kepadanya.
“Apa yang saya sampaikan adalah sejarah dan kenangan bersama rakan-rakan sewaktu kecil. Iklan tersebut menjadi memori indah kepada kami, saya yakin sesiapa yang lahir di era saya pasti terkenang mengenainya,” katanya.
Pernah dihentam
Tidak lari daripada dihentam penonton videonya, Faiz menganggap perkara tersebut sebagai pengalaman.
“Ketika muncul dengan karakter bertudung, saya pernah dikecam. Banyak komen-komen negatif dan kritikan saya terima. Bagaimanapun, saya tidak terkesan dengan perkara itu.
“Saya hanya gemar berkarya dan melakukan sesuatu yang kreatif, cuma apabila ada yang terasa atau tidak suka, sudah pasti saya menerima impaknya,” katanya.
Ramai juga yang memberikan komen negatif ketika saya menjadi penyampai radio jemputan bagi sebuah stesen radio tempatan.
“Penangan saya sebagai Faiz Dickie membuatkan saya banyak menerima jemputan, tetapi jemputan sebagai penyampai radio sangat mencabar,” katanya.
Ditanya sehingga bila dia akan terus menghasilkan parodi, katanya, selagi trend, demand dan laman sosial Instagram diterima, selagi itu dia akan meneruskan minatnya itu.
Menamakan komunitinya sebagai Villagepeople (VP) kata Faiz lagi, dia teruja kerana komunitinya semakin mendapat sambutan.
“Jika artis mempunyai kelab peminat, saya pula mempunyai komuniti VP. Ini merupakan geng-geng yang sentiasa menyokong saya selama ini,” katanya.
Kerana itu Faiz menghasilkan sebuah buku berjudul Villagepeople sebagai tanda penghargaan kepada pengikutnya itu.