LAGU-lagu seperti Suraya, Segalanya Mungkin, Hanya Di Radio antara yang berjaya meletakkan nama Headwind sebuah kumpulan tersohor pada era 1980-an. Peminat terbuai dengan kelunakan suara vokalisnya, Datuk Zainal Abidin.
Walaupun bergerak secara solo, Zainal Abidin tidak pernah menghampakan. Beliau hadir dengan lagu-lagu yang lebih santai dan dekat dengan masyarakat hingga dilantik sebagai Duta Alam Sekitar selepas popular dengan lagu Hijau.
Tahun demi tahun, Zainal Abidin berada dalam kelasnya tersendiri.
Beraksi di pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 6 hingga 7 Mei lalu, beliau terus membuktikan keunggulan vokalnya seterusnya meletakkan namanya dalam senarai terkini penyanyi yang sudah bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) seperti Datuk Siti Nurhaliza, Yuna, Tan Sri SM Salim, Datuk Sheila Majid, Datuk M Nasir, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Ramli Ibrahim.
Diiringi orkestra di bawah pimpinan konduktor Ahmad Muriz Che Rose, peminat terbuai dengan aksi bersahaja bintang kelahiran Johor ini.
Kesemua lagu nyanyiannya pada malam itu digubah khas dan diberi nafas baharu oleh penggubah seperti Ahmad Muriz, Vivian Chua, Syed Shahrir Faisal, Luqman Aziz, Sham Zin dan Leonard Yeap.
Sentiasa muda di hati peminatnya, Zainal Abidin begitu selesa di pentas berprestij itu walaupun ia pertama kali membuat persembahan di sana.
“Saya gembira dapat menyanyi di pentas gah ini. Secara jujurnya perjalanan hidup saya tidaklah seindah orang lain. Saya dibesarkan oleh nenek saya dan menjalani kehidupan yang begitu sederhana.
“Saya beruntung dikurniakan dengan suara yang boleh membuatkan orang suka... bukan saya kata, ini orang kata hingga kalau saya menyanyi lagu Segalanya Mungkin, ramai yang akan mengalirkan air mata... kenapa ye?," selorohnya.
Memulakan lagu Chan Mali Chan, diikuti lagu Suriram, kedua-dua lagu ini merupakan lagu kegemarannya sejak kecil dan sering didendangkan oleh neneknya.
Tamat segmen mengimbau kenangan waktu kecilnya, Zainal Abidin mula menyampaikan lagu-lagu popularnya ketika bersama kumpulan Headwind. Antaranya adalah Segalanya Mungkin, Hanya Di Radio, Debu Liar dan Suraya.
“Saya tidak suka Headwind. Kebanyakan lagu yang saya nyanyi, ada perempuan akan nangis. Saya menyanyi bukan untuk orang nangis...apa yang harus saya buat?," katanya yang mencuit hati peminatnya.
Ternyata, Zainal Abidin mempunyai kelompok peminat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Setiap bait lirik-liriknya akan turut dinyanyikan bersama peminatnya.
Selepas waktu rehat, Zainal Abidin terus menghiburkan peminatnya dengan lagu-lagu pilihan dari era solonya. Bermula dengan lagu Manis, Damai IV, Inaiah, Orak Orek, Bongkar, Khayalan dan Hijau, peminat seakan tidak puas.
Tamat sahaja persembahan lagu terakhir, peminat terus bertepuk hingga Zainal Abidin keluar semula ke pentas dan menyampaikan lagu tambahan Ikhlas Tapi Jauh.
Dua jam ternyata tidak puas bagi peminat tegar penyanyi itu. Dalam nyanyian, tidak ada yang boleh menyangkal kehebatan vokalnya, namun sisi lain yang dilihat, Zainal Abidin seorang yang kelakar.
Dalam pada menyanyi, Zainal Abidin turut berkongsi tip untuk menjaga alam sekitar kerana baginya, dengan apa yang ada hari ini, boleh merosakkan alam sekitar jika tidak pandai menghargainya.
“Anda pakai telefon bimbit? Pastikan semasa anda cabut kabel telefon selepas dicas, matikan suis elektrik. Jika tidak, aliran kuasa terus berlaku dan bil elektrik anda akan terus melambung,” pesannya kepada peminat.
Secara keseluruhannya, persembahan Zainal Abidin sudah mencapai tahap ‘world class’ ditambah dengan gabungan orkestra hebat Malaysia. Mungkin ini hanyalah permulaan baginya di pentas berprestij ini.