SELEBRITI yang juga aktivis kemanusiaan, Yatt Hamzah melahirkan rasa teruja dan bersyukur atas kehamilan yang kini sudah masuk bulan kedua.
Ujar Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, 36, dia sudah lama berdoa untuk dikurniakan cahaya mata kedua, apatah lagi anak sulungnya, Suci Hanania Malika Abdul Mutalib sudah berusia 6 tahun.
“Alhamdulillah doa saya sejak lima tahun lalu telah ALLAH SWT makbulkan. Memang sejak perkahwinan sebelum ini lagi saya begitu mahukan anak lagi. Tapi tak sangka, akhirnya ALLAH SWT makbulkan doa saya.
“Nia (anak) juga sangat gembira mendengar berita ini, malah dia lebih teruja daripada suami saya. Dia juga lebih mengambil berat mengenai kesihatan dan keselamatan saya. Bila cukup masa, dia akan beri saya makan ubat dan memimpin saya turun tangga,” katanya kepada Zass.
Yatt dan suami, Mohammad Zulfadhli Khiruddin diijabkabul pada 27 Februari lalu.
Bercerita lanjut mengenai kehamilan kedua ini, Yatt berkata, dia menyedari dirinya berbadan dua ketika majlis resepsi di Kelantan, tiga minggu lalu.
“Semasa sesi fotografi sehari selepas majlis, saya tak sempat bersarapan dan terus menjalani sesi fotografi di luar. Ketika sesi fotografi berlangsung, saya terasa sangat lapar sampai mengigil lutut.
“Selesai sahaja, kami terus pergi makan dan saya makan dengan banyak sehinggakan pihak foto juga terkejut melihat banyaknya saya makan.
“Dan disebabkan rasa lapar yang luar biasa itu, saya syak saya hamil dan saya terus membeli alat ujian kehamilan dan ia positif. Keesokannya bila pulang ke Kuala Lumpur, saya terus membuat pemeriksaan dan disahkan hamil lima minggu.
“Bagaimanapun doktor maklumkan ada luka di rahim saya dan beliau sarankan saya untuk banyak berehat,” katanya.
Biarpun disarankan supaya berehat, kata Yatt, dia sukar berbuat demikian kerana kekangan kerja.
“Saya kini dalam perancangan mengeluarkan koleksi raya Suci By Yatt Hamzah yang dijangka pelancarannya pada sebelum atau awal Ramadan ini.
“Selain itu, saya juga sibuk dengan program misi kemanusiaan untuk Syria serta menguruskan rumah tangga.
“Jadi mahu atau tidak saya terpaksa letakkan rehat ke tepi, namun saya jadi lebih berhati-hati dan tidak buat kerja berat.  Lagi pula saya jenis tak reti duduk diam.Alhamdulillah suami juga banyak membantu dan dia mula belajar masak,” katanya.