Tuesday, 17 May 2016

Fouziah Gous duta Per'l Xlim



Fouziah Gous
Fouziah Gous
PELAKON cantik ini mengakui kehidupannya sebagai seorang ibu memberikan seribu satu makna kepadanya. Sementelah sejak melahirkan Muhammad Zeeshan November lalu, rezekinya semakin melimpah ruah.
“Benar kata orang, apabila berkahwin akan ada rezeki kahwin dan apabila mempunyai anak, ada pula rezeki anak. Ini yang berlaku kepada saya, sejak mengandung dan melahirkan Zeeshan lima bulan lalu, ada sahaja tawaran kerja diberikan kepada saya.
“Saya fikir apabila sudah bergelar seorang ibu, kerjaya dalam industri seni akan pudar tetapi sebaliknya pula,” katanya pada sidang media pelantikannya sebagai duta baharu produk Per'l Xlim, baru-baru ini.
Mengulas mengenai pelantikannya itu, kata wanita berusia 34 tahun ini, dia sangat bersyukur dan gembira kerana pihak Power Root Marketing Sdn Bhd memilihnya.
“Masih ramai wanita di luar sana yang lebih baik paras rupa atau bentuk badan mereka berbanding saya. Kerana itu saya terkejut apabila mendapat tawaran tersebut. Lebih-lebih lagi mereka melamar saya sejak saya hamil.
“Bagaimanapun, saya hanya menerimanya apabila ia terbukti berkesan,” katanya.
Bercerita lanjut, kata Fouziah, pada awalnya, dia bimbang menggunakan produk tersebut kerana sedang hamil.
“Untuk melihat sejauh mana keberkesanan produk ini, suami (Zhaffran) menjadi testimoni terlebih dahulu kerana sepanjang hamil memang saya tidak mengambil minuman ini.
“Apabila suami memberitahu kebaikannya, barulah saya percaya,” katanya.
Jelas pelakon drama bersiri Sutera Maya ini, dia yang sangat menggemari kopi itu, mengambil produk tersebut selepas dua minggu melahirkan Zeeshan.
“Alhamdulillah, apa yang membuatkan saya tertarik dan menerima pelantikan sebagai duta produk ini kerana ia memberikan kesan baik kepada saya.
“Saya bukan jenis orang yang senang-senang menerima tawaran sesuatu produk tanpa menggunakannya terlebih dahulu.
“Bagi saya ia bukan perkara baik kerana boleh menjejaskan kredibiliti kita sendiri,” katanya.
Berkongsi pengalaman menggunakan Per'l Xlim, katanya, jika sebelum ini dia bimbang berat badannya bertambah, kini tidak lagi.
“Produk ini banyak membantu saya kembali langsing seperti di zaman anak dara, waktu mengandung berat saya mencecah ke 64 kilogram daripada 55 kilogram, dan ia membuatkan saya risau dengan perubahan tersebut.
“Tetapi, sejak mengamalkan minuman ini, saya tidak bimbang lagi, kerana ia merupakan produk yang mampu membakar lemak secara semula jadi dan memberikan kesan sampingan baik kepada kulit juga,” katanya.
Oleh kerana masih menyusu badan Zeeshan secara penuh, kata Fouziah, dia tetap berhati-hati apabila mengamalkan minuman tersebut.
“Bagi mereka yang tidak menyusukan bayi, bolehlah ambil seperti biasa. Tetapi saya pula perlu memastikan anak menyusu terlebih dahulu sebelum minum produk ini,” katanya mengakui lebih bertenaga sepanjang mengambil Per'l Xlim.
Kemunculan Pertama
Meskipun dengan tugasannya sebagai ibu, Fouziah mengakui dia kini kembali melibatkan diri dalam bidang lakonan.
“Syukur kerana masih ada yang memerlukan saya. Bagaimanapun, saya tidak suka-suka menerima sebarang kerja, selagi menepati kriteria dan jadual saya, saya akan teruskan,” katanya bakal muncul dengan buah tangan terbaru iaitu Strawberi Karipap Hello Hong Kong terbitan Global Station Sdn Bhd.
Berkongsi penglibatannya menerusi drama itu, katanya, dia memainkan peranan sebagai ibu kepada Rykarl Iskandar.
“Jika sebelum ini Rykarl banyak menghabiskan masa bersama pakcik dan makciknya tetapi kali ini dia kembali menetap bersama ibunya di Hong Kong.
“Bagi saya penampilan sebagai seorang ibu tidak terlalu sukar sementelah saya mempunyai pengalaman tersebut,” katanya.
Tambah Fouziah, ketika penggambaran dijalankan di Hong Kong, dia turut membawa Zeeshan.
“Setakat ini saya tidak pernah meninggalkannya, kerana itu saya hanya menerima tawaran yang bersesuaian. Selagi saya dekat dengan anak, itu sudah mencukupi,” katanya.
Ditanya mengenai kerjaya sebagai pengacara pula, katanya, buat masa sekarang dia tidak memikirkan mengenai perkara itu.
“Sekarang sudah ada anak, jadi saya tidak mahu kerja-kerja yang membuatkan saya terpaksa meninggalkan dia dalam masa panjang. Sebelum ini bersama Nona, banyak episod yang memerlukan penggambaran di luar negara.
“Kalau boleh saya mahu elakkan itu dan mengambil kerja yang tidak mengabaikan komitmen saya terhadap keluarga,” katanya.

No comments:

Post a Comment