Tuesday, 17 May 2016

Jadi tumpuan kerana buah anggur



Jadi tumpuan kerana buah anggur
Mohd Hairey bersama adiknya menunjukkan anggur yang dipetik dari pokok yang ditanam di halaman rumahnya.
JOHOR BAHRU – Kediamannya menjadi tumpuan orang ramai selepas pokok anggur yang ditanam di halaman rumah lebih tiga tahun lalu berbuah lebat.
Mohd Hairey Rahim, 31, berkata, dia sendiri tidak menyangka anak pokok anggur yang dibeli di Cameron Highlands itu boleh hidup subur.
Menurutnya, lebih istimewa apabila pokok anggur yang mula berbuah lebat sejak lebih setahun lalu mengeluarkan buah tanpa henti.
“Masa nak beli anak pokok anggur ni, penjual nasihatkan saya supaya tak beli kerana tak pernah orang beli dan balik tanam di rumah boleh hidup, tapi saya nekad nak mencuba.
“Alhamdulillah selepas ditanam lebih kurang dua bulan anak pokok anggur ini makin subur dan selepas setahun ia mula mengeluarkan buah setangkai dengan hanya tiga biji.
“Enam bulan kemudian sekali lagi ia berbuah, tetapi hanya setangkai juga membuatkan saya sekali lagi ke Cameron Highlands untuk mendapatkan maklumat daripada penjual anak pokok anggur itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Hairey berkata, selepas dinasihatkan supaya memotong pucuknya yang menjalar, ia mengeluarkan buah sehingga sekarang.
Menurutnya, selepas viral di laman sosial facebook, kediamannya bukan sahaja dikunjungi ramai orang, malah ada yang meminta khidmat nasihatnya untuk mengetahui cara-cara menanam pokok anggur sehingga hidup subur.
“Masa mula-mula tanam dulu memang saya buat sendiri tong air yang boleh mengeluarkan air setiap tiga jam sekali untuk tempoh 12 jam kerana dalam keadaan cuaca panas di tempat kita memang air tu wajib bagi pokok anggur.
“Buahnya memang seperti saiz anggur biasa dengan rasa yang masam-masam manis.
“Buah anggur ini saya tak jual, sebaliknya pengunjung yang datang ke kediaman saya akan berpeluang memetik sambil menikmati buah anggur segar ini,” katanya.
Katanya, dia ada perancangan untuk membuka kebun anggur kerana sudah mempunyai pengalaman dan tahu selok-belok tanaman itu, tetapi berdepan masalah tanah.

No comments:

Post a Comment