JIKA mahu menikmati set hidangan bebola daging setaraf hidangan lima bintang dengan harga cukup murah, dapatkan sahaja hidangan istimewa ‘meatball carbonara cheese’ dan ‘meatball blackpepper’ di KaKGie’s HomeMade Meatballs melalui tempahan atas talian.
Menurut pemilik KaKGie’s HomeMade Meatballs, Azlina Mahadi, 47, atau senang disapa Kak Gie, rasanya bukan sahaja sedap, aroma daging segar, padat dan lembut, malah bahan-bahan yang digunakan adalah premium dengan bayaran cuma RM10!
“Saya cuma mahu beri kepuasan kepada pelanggan ketika menikmati setiap suapan. Paling menarik, setiap set mengandungi 15 biji bebola daging dengan taburan sos enak, juga buatan sendiri.
“Selain dua set ini, saya juga ada jual ‘spaghetti meatball’, bakso, mi sup yang berharga bawah RM10,” katanya.
Azlina berkata, perniagaan tersebut diusahakan sejak dua tahun lalu di rumahnya yang terletak di Puncak Perdana dan semakin mendapat sambutan setelah mendapat permintaan daripada teman.
“Saya pernah menyediakan hidangan berasaskan bebola daging sebagai hidangan di pagi raya. Kawan-kawan serta jiran mula membuat tempahan setelah merasakan ia cukup enak.
“Tak sangka dapat sambutan dan saya cuba pula promosi menu berasaskan meatball iaitu ‘meatball carbonara cheese’ dan ‘metball blackpepper sos’,” katanya.
Azlina berkata, perniagaan itu diusahakan dengan bantuan anak-anak Nur Intisar, 25, Nur Isyra, 21, dan Nur Irdina, 19, yang sentiasa rajin membantu.
“Saya buat bisnes ini kecil-kecilan dari dapur sendiri dengan bantuan puteri-puteri saya yang banyak membantu untuk menyiapkan tempahan.
“Tempahan untuk katering, hari jadi, hi tea, mesyuarat dan sebarang majlis juga diterima,” katanya.
Tambahnya, bagi sesiapa yang ingin mencuba bebola daging dingin beku buatannya boleh membuat tempahan.
“Saya juga ada jual frozen meatball yang saya buat sendiri. Dalam setiap pek ada 50 biji dan boleh dibeli dengan harga cuma RM17," katanya yang menetap di Shah Alam.