GAYA hidup masyarakat yang sibuk pada hari ini membuatkan peniaga menjadi lebih kreatif memikirkan perniagaan sesuai, selaras dengan perubahan semasa yang menepati kehendak pelanggan.
Sesibuk mana pun, makanan tetap menjadi keutamaan masyarakat bagi meneruskan rutin harian mereka.
Sebelum ini, makanan sedia dimasak dan sedia dihidang serta perkhidmatan penghantaran makanan segera sering menjadi pilihan ramai, terutama mereka yang berkerjaya.
Namun, kini makanan dalam kotak atau dikenali sebagai lunchbox, hidangan lengkap yang mengandungi nasi, sayur-sayuran dan sumber protein, dihidangkan dalam satu bekas, menjadi tumpuan.
Ramai yang mula beralih kepada hidangan lunchbox di pejabat, apatah lagi harganya yang berpatutan dan perkhidmatannya sehingga sampai ke pintu rumah atau pejabat, tanpa caj tambahan.
Selain memudahkan orang ramai, ia juga menjimatkan tenaga dan masa terutama bagi golongan pekerja yang tidak mempunyai kafe di pejabat.
Disebabkan itu, semakin ramai yang menceburi perniagaan ini, tidak kiralah sama ada peniaga katering, mahupun individu untuk menjana pendapatan.
Jana pendapatan sampingan
Walaupun bekerja sebagai jurutera sepenuh masa, ia tidak menghalang Ranifaisul Khazrul Mohd Rantham mengusahakan perniagaan lunchbox menerusi jenama ezyLaoQ, bersama isterinya, sejak 1 April lalu.
Ranifaisul Khazrul berkata, perniagaan itu menjadi pilihan mereka untuk mendapatkan pendapatan sampingan, selain sebagai satu cara mengetengahkan resipi turun temurun daripada ibunda tersayang, menerusi blog dapurkakpah, yang diperkenalkan sejak 2011.
“Perniagaan ezyLaoQ beroperasi setiap hari dan penghantarannya di sekitar Lembah Klang, namun kami lebih menumpukan kawasan Kuala Lumpur dan Shah Alam.
“Antara menu utama kami ialah set nasi putih, asam pedas patin/kembong, telur masin, ulam-ulaman, sambal belacan dan dadih sebagai pencuci mulut, hanya pada harga RM8.20. Selain itu, kami juga menyediakan set nasi putih, masak lemak pucuk paku, udang goreng kunyit dan tembikai dengan harga RM 8.90 sahaja dan beberapa set hidangan lain,” katanya.
Menurutnya, ezyLaoQ tidak mengenakan caj penghantaran, namun mengehadkan tempahan minium sekurang-kurangnya empat set bagi setiap pembelian.
“Pelanggan kami majoritinya individu yang bekerja di pejabat dan mereka yang tidak sempat memasak di rumah.
“Setakat ini, tempahan yang diterima sangat menggalakkan di mana jumlah tempahan meningkat dari sehari ke sehari. Dianggarkan purata sehari boleh mencapai sehingga 30 hingga 50 pek lunchbox,” katanya.
Sebelum memasak, dia akan memastikan bahan-bahan yang digunakan segar dan berkualiti.
“Kami gunakan ulam-ulaman kampung untuk lunchbox dan ia dibeli segar dari pasar borong, pada malam
sebelum pesanan dihantar kepada pelanggan keesokannya,” katanya.
Sebelum menjalankan perniagaan lunchbox, Ranifaisul Khazrul banyak menerima tempahan memasak aneka hidangan untuk majlis kecil-kecilan.
Permintaan tinggi musim gaji
Bagi Pengurus Pemasaran K Azraei Homemade Food (KAHF), Atia Azhar berkata, secara puratanya, tempahan lunchbox yang diterima mencecah 100 ke 120 set sehari ketika musim gaji.
Dia yang memulakan perniagaan lunchbox, menerusi jenama Tapauware, sejak April tahun lalu, mengakui kadang kala tidak menang tangan.
“Kami mempunyai tiga kakitangan yang menghantar bekalan lunchbox terus kepada pelanggan. Kadang kala, kami terpaksa menolak tempahan, jika tidak mampu menghantarnya pada waktu makan tengah
hari untuk menjaga kualiti makanan dan perkhidmatan kepada pelanggan.
“Perniagaan lunchbox ini bermusim kerana kebanyakan pelanggan kami adalah orang kerja pejabat, pelajar, ibu berkerjaya dan lainlain. Tempahan akan berkurangan jika hari cuti dan selepas bercuti panjang,” katanya yang beroperasi pada Isnin hingga Jumaat.
Atia berkata, Tapauware menawarkan hidangan nasi dengan lauk utama, sayur-sayuran dan lauk sampingan dengan harga RM8.50 satu set, termasuk penghantaran percuma sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.
“Tapauware tidak menetapkan tempahan minimum dan kami tetap menerima walaupun satu tempahan, untuk sesebuah kawasan.
“Setiap hari, menu kami akan bertukar-tukar. Menu kami kebanyakannya masakan Melayu dan
 kadang kala kami akan sediakan mi atau hidangan barat seperti pasta,” katanya.
Atia berkata, menerusi perniagaan lunchbox, dia mampu menjana pendapatan antara empat hingga lima angka sebulan.
“Sebelum ini, KAHF bermula sebagai syarikat katering, namun disebabkan harga bahan mentah tinggi, kami tidak sanggup kenakan caj yang tinggi kepada pelanggan. Jadi kami mula mencari alternatif lain, dengan menyediakan hidangan lunchbox,” katanya.