BANGI - Pelajar cacat penglihatan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi,18, sekali lagi dinobatkan johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Karnival Dakwah Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan 2016.
Kemenangan semalam, adalah kali keempat diperoleh pelajar tingkatan lima dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Molek, Kota Bahru, Kelantan itu.
Muhammad Qayyim, satu-satunya peserta cacat penglihatan mengalahkan peserta tilawah dari semua negeri di seluruh negara.
Dia yang menggunakan al-Quran Braille berkata, sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu, bapa dan guru membolehkannya sampai ke  peringkat akhir pertandingan.
Menurutnya, rajin mendengar bacaan taranum al-Quran selain menitikberatkan penjagaan suara menjadi formula kemenangannya.
Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, dia sentiasa ‘menghadap’ tok guru untuk memastikan tiada kesilapan ketika membaca al-Quran.
“Biasanya, saya baca al-Quran dari waktu Maghrib hingga Isyak. Alhamdulillah, syukur atas kemenangan ini, terima kasih kepada ibu, ayah dan guru terutama Ustaz Mohd Fauzi Awang,” katanya.
Sementara itu, bagi Tilawah al-Quran Murid Orang Asli kategori sekolah rendah, Abdul Rasyid Mohd Abrari, 11, dari Sekolah Kebangsaan Gombak Utara, dinobatkan johan peringkat kebangsaan.
Menurutnya, dia sering membaca al-Quran untuk memantapkan bacaan dengan tunjuk ajar guru di sekolah.
“Tak sia-sia saya mengulangi bacaan setiap hari. Gembira betul bila diumumkan sebagai johan,” katanya ketika ditemui di Dewan Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam,di sini, semalam.
Bagi Nur Azieka Abdullah, 12 dari Sekolah Kebangsaan (A) Bukit Kemandol K9, pula, dia bersyukur merangkul johan Hafazan al-Quran Orang Asli peringkat kebangsaan bagi kategori sekolah rendah.
Menurutnya, sering makan kismis dan mengamalkan solat hajat menjadi petua kemenangannya.
“Saya selalu hafal surah bila ada masa lapang dan cuti sekolah, gembira menang tempat pertama,” katanya.
Dia berkata demikian selepas majlis penyampaian hadiah dan majlis perasmian penutup yang disempurnakan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan, Wan Ramdzan Wan Mamat.