Thursday 2 June 2016

Terowong pejalan kaki menakutkan



Terowong pejalan kaki menakutkan
Cai Tung menunjukkan hanya satu ‘spotlight’ yang menerangi terowong sepanjang lebih kurang 50 meter
JOHOR BAHRU - Terowong pejalan kaki berhampiran sebuah stesen minyak Jalan Bakawali, Taman Johor Jaya, di sini menakutkan dan bahayakan pengguna.
Seorang pekerja swasta, Nor Azit, Rahmat, 25, berkata, terowong itu menjadi tumpuan pejalan kaki terutama pada waktu pagi dan petang sejak dua tahun lalu, namun beberapa kes jenayah terutama ragut kerap berlaku bukan hanya membabitkan mangsa wanita, tetapi juga lelaki.
“Apa yang saya lihat, pejalan kaki wanita bukan sahaja tidak akan melalui lorong itu seorang diri, malah langkah mereka dilihat berlari anak kerana bimbang dengan keselamatan diri.
“Beberapa kes ragut yang saya tahu sebelum ini dilakukan oleh warga asing yang mengambil kesempatan di kawasan terowong yang sunyi dan gelap pada waktu malam,” katanya kepada Sinar Harian yang melakukan tinjauan bersama Adun Johor Jaya, Liow Cai Tung, di sini, semalam.
Sementara itu, Cai Tung berkata, terowong yang merentasi Jalan Pandan-Kota Tinggi melalui lorong bawah tanah itu menjadi tumpuan pejalan kaki kerana ketiadaan jejantas untuk menyeberang.
Bagaimanapun menurutnya, keadaan terowong yang tidak diselenggara dengan baik sehingga menjadi takungan air pada musim hujan dan diambil kesempatan oleh penjenayah sangat membahayakan pengguna.
“Hanya satu ‘spotlight’ yang menerangi terowong sepanjang lebih kurang 50 meter pada waktu malam, sedangkan kedua-dua lampu jalan di permukaan terowong tidak menyala sejak tiga bulan lalu.
“Kita minta pihak bertanggungjawab lebih prihatin dengan keselamatan orang ramai yang menggunakan terowong ini.
“Tolong pasang ‘spotlight’ yang boleh menerangi kawasan terowong ini termasuk sebuah cermin besar dan landskap yang menyedapkan mata memandang kerana ini satu-satunya laluan untuk menyeberang Jalan Pandan-Kota Tinggi,” katanya.

No comments:

Post a Comment