WALAUPUN ada banyak program realiti nyanyian yang muncul, namun Akademi Fantasia (AF) tetap memikat hati penonton. Tapi, itu dulu! Sewaktu mula-mula ia muncul dan menggegarkan industri hiburan tempatan. Sejak empat tahun kebelakangan ini, AF tidak lagi segah dulu.
AF tidak lagi seceria dulu. Maaf andai kosa kata ini membuatkan produksi tergores.
AF melahirkan ramai bintang realiti yang suatu ketika dulu disebut sebagai 'artis mi segera.' Bertapa 10 minggu dalam akademi, keluar terus jadi bintang sanjungan dan terus mempunyai kelab peminat sendiri. Tidak seperti kebanyakan penyanyi yang lahir bukan dari program realiti. Makan tahun juga nak cari peminat. Makan tahun juga nak yakinkan orang mereka adalah penyanyi sejati!
Dengan kembalinya AF tahun ini, apa lagi janji Astro untuk terus menarik orang menonton program seperti ini.
Sekali lagi, maaf cakap, jika sebelum ini tajaan yang diterima tidak begitu nampak dari sudut mata kasar. Kalau terlihat banner tu kira OK dah. Lepas tu keluar iklan masa siaran langsung. Itu memadai.
Tetapi sejak akhir-akhir ini, penaja turut ada slot khas dalam program sebegini. Secara tidak langsung mencacatkan perjalanan program ini.
Kerana itu, AF kurang umph! sebab banyak eclipse yang tak perlu ada, tetapi wajib ada.
Jika AF dapat mengembalikan semula kegemilangan sewaktu awal kemunculannya dahulu, mungkin AF akan terus selesa berada di dalam gelanggangnya sendiri.
Namun hari ini, rata-rata pelajar dalam AF seakan-akan sudah masak dengan permainan diari itu sendiri. Mereka sudah boleh meneka di mana kedudukan kamera dan kerana itu apa yang diterjemahkan tidak 100 peratus semulajadi mereka.
Astro perlukan idea-idea baharu yang lebih segar untuk tatapan penonton. Drama dalam akademi sudah tidak relevan lagi (kerana pelajar sudah tahu, mana akan disunting). Mungkin AF tahun ini lebih fokus kepada muzik dan hala tuju pelajar-pelajar ini.
Harus diingat, pelajar yang keluar akan menjadi bintang. Sudah semestinya pelajar-pelajar yangt dipilih seseorang yang boleh bergerak jauh dan mampu menempatkan diri dalam bidang seni walaupun tanpa Astro lagi selepas ini.