SUNGAI BESAR – Seorang pengguna mendakwa membeli ayam tidak disembelih daripada peniaga di sebuah pasar di daerah ini hingga memaksanya memulangkan semula ayam itu.
Pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Pda Mokhtar memuat naik statusnya di laman sosial itu pada jam 4.46 petang, 11 Julai lalu itu menjadi viral dalam kalangan pengguna media sosial lain.
Menurut Pda Mokhtar, dia perasan ayam itu tidak disembelih ketika ingin memotong ayam itu di rumah dan perkara itu turut disahkan bapa dan abang iparnya.
“Bapa saya bising dan temankan saya pergi jumpa peniaga terbabit. Saya cakap tak jadi beli dan duit dipulangkan,” katanya.
Pda Mokhtar turut menasihati pembeli supaya memeriksa terlebih dahulu ayam di pasar terbabit.
Dia juga turut menandakan bulatan pada gambar ayam itu dengan bulatan merah yang menandakan terdapat kesan hirisan nipis daging di bahagian hujung leher.
Jelasnya, bulatan hijau yang ditandakan itu merupakan bekas suntikan, manakala bulatan biru itu adalah tempat penyembelihan bagi memutuskan urat marikh.
I Love Sungai Besar yang merupakan antara laman berkumpulan Facebook paling aktif di Sabak Bernam turut menviralkan dakwaan itu dan menerima pelbagai reaksi.
“Belilah di tempat orang Melayu, boleh bantu Melayu berniaga,” tulis Baharin Rin.
Bagi Puan Ciken Rool pula berpendapat, maklumat yang diviralkan seperti itu amat membantu terutama kepada pembeli luar agar lebih berhati-hati selepas ini.
“Saya dah lama tak makan ayam sebab kes macam ni. Tak kiralah peniaga Melayu ke atau bukan Islam, tahap sembelih tidak memuaskan, seeloknya buat aduan,” kata Samad Arshad.
Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan itu daripada Pda Mokhtar menerusi mesej Facebook tidak dibalas sehingga jam 6.30 petang, semalam.