MACHANG - Seekor gajah yang dikatakan menceroboh kawasan penduduk dan memusnahkan kebun beberapa kampung di sini, sejak beberapa bulan lalu berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, di sini, petang Khamis lalu.
Pengarah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Nasharudin Othman  berkata, gajah jantan berusia kira-kira 40 tahun dengan berat dianggarkan empat tan itu ditangkap menggunakan kaedah tembakan ubat pelali hasil maklumat penduduk kampung.
Katanya, gajah itu berjaya dikesan dan ditangkap kira-kira dua kilometer daripada Pusat Perkelahan Bukit Bakar.
“Operasi memindahkan gajah itu bermula jam 3 hingga 7 petang dan akan dihantar ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang.
"Ia melibatkan 15 anggota daripada Pusat Konservasi Gajah dan Perhilitan Kelantan dan dua gajah denak, Rambai dan Abot yang kebetulan berada di Jeli bagi tugas sama, baru-baru ini,” katanya petang kelmarin.
Proses pemindahan tersebut menarik perhatian penduduk yang sanggup menunggu seawal jam 2 petang bagi melihat sendiri haiwan liar itu secara dekat.
Sebelum ini, penduduk beberapa kampung berdekatan termasuk Kampung Limau Nipis, Pangkal Pak Yam dan Pangkal Ketereh mendakwa terancam dengan pencerobohan sekumpulan dua hingga tiga gajah di kawasan mereka sejak beberapa bulan lalu.
Penduduk, Mat Lazim  Harun berkata, gajah itu dikesan penduduk apabila memusnahkan tanaman kelapa dan pisang di Kampung Limau Nipis pada hari raya ketiga lalu.
Katanya, kejadian tersebut kerap berulang, namun penduduk tidak pernah melihat haiwan itu secara dekat sehingga minggu lalu.
“Kami segera menghubungi Jabatan Perhilitan bagi memaklumkan kehadiran haiwan liar tersebut dan kali terakhir gajah itu dilihat di Kampung Pangkal Ketereh.
“Terima kasih semua pihak terutama Perhilitan yang banyak membantu kami menyelesaikan masalah tanaman yang musnah sejak beberapa bulan lalu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Mukim Baka, Mohd Adnan Ismail berkata, tindakan pantas Jabatan Perhilitan berjaya menyelamatkan tanaman penduduk yang diancam haiwan liar itu.
Katanya, penduduk juga tidak lagi teragak-agak keluar menoreh di kawasan bukit berdekatan selepas haiwan itu ditangkap.
“Saya difahamkan gajah jantan itu berjalan dalam kumpulan antara dua hingga tiga ekor. Saya harap selepas ini tiada lagi gangguan haiwan liar itu di kawasan ini sekali gus melegakan penduduk.
“Selain jabatan kerajaan terlibat, penduduk juga berterima kasih kepada Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang turut memainkan peranan bagi membendung ancaman haiwan liar ini,” katanya.