SETIU - Sultan Terengganu, Sultan  Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Persandingan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten Mohd Zai Zakaria, yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom dekat bandar Permaisuri di sini, hari ini.
Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan dua anakanda baginda.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri merangka Adun Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafie dan Pegawai Daerah  Setiu, Talahah Ali  serta beberapa pemimpin lain
Kapten Mohd Zai , 31, merupakan juruterbang  pesawat Eksekutif Global Express yang bertanggungjawab membawa pembesar negara termasuk tuanku dan beberapa Sultan lain.
Mohd Zai dan keluarga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada baginda Sultan Mizan yang sudi mencemar duli berangkat ke majlis persandingannya.
“Terharu dan gembira sangat, tidak sangka Tuanku sanggup mencemar duli menghadiri majlis saya," katanya yang ditemui selepas majlis persandingan.
Mohd Zai yang  menjadi juruterbang pesawat tersebut sejak tahun 2012 melangsungkan perkahwinan dengan NorFarah Natasha Nordin, 28, seorang pengurus sebuah syarikat insurans di Melaka.
Pegawai tentera yang berasal dari Bukit Amar, Bandar Permaisuri di sini itu pernah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim Setiu sebelum belajar di SMK Tengku Mahmud, Besut kemudiannya ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang, Kedah.
Menurut Mohd Zai, beliau berkenalan dengan isterinya yang berasal dari Seri Manjung, Perak pada Mei tahun lalu melalui laman sosial Facebook kemudian bertunang pada Oktbober tahun sama.
“Majlis akad nikah kami diadakan pada 8 Julai dan majlis persandingan sebelah keluarga perempuan berlangsung keesokannya (9 Julai) bertempat di sebuah resort di Lumut, Perak,”  katanya.
Mohd Zai anak sulung daripada sembilan adik beradik adalah anak kepada pasangan Zakaria Harun, 62, dan Hamidah Embong, 53.
Zakaria merupakan seorang pengusaha ternakan ikan keli dan pembekal makanan ternakan di daerah ini sementara isterinya adalah suri rumah sepenuh masa.