RADIO Televisyen Malaysia (RTM) mengajak penonton berkongsi idea dalam rancangan bual bicara bersama selebriti jemputan dan pakar motivasi menerusi program terbaharu, Kafe Ilmu.
Menariknya, program berbentuk dokudrama itu bertujuan membentuk remaja berilmu dan bakal memberi motivasi diri, inspirasi panduan serta pelbagai tip yang membina dalam menghadapi pelbagai isu semasa serta masalah remaja secara santai.
Dalam program bual bicara itu, pelbagai topik yang bakal dibawakan iaitu Jika Anda Gagal; Remaja dan Masa; Leteran dan Teguran; Fesyen Terlampau; Buru Glamour, Ilmu Terpinggir; Berani Gagal; Kad Kredit - Tak Ada Susah, Ada Pun Susah; Remaja dan Kahwin Muda; Komunikasi Dalam Keluarga; Ketua dan Staff; Tiada Kerja, Pilih Kerja; dan Kejar Dunia – Lupa Keluarga.
Pakar motivasi yang diundang ialah Lt Kol Mohd Radzi Abd Hamid; Ustazah Rubiah K Hamzah; Dr Prof Md Fadzil Che Din;
Ustazah Dr Rubiah Kulop; ikon iM4U, Micheal Teoh Su Lim; doktor pakar kanakkanak dan ikon belia, Dr Mohd Nawar Ariffin; pakar motivasi dan tokoh remaja, Muhammad Faiz Effendi Yunus; Penolong Pengarah Jakim, Ustaz Tuan Asmawi; dan pakar perniagaan Internet, Irfan Khairi.
Selain itu, pandangan dan nasihat berguna turut dikongsi selebriti seperti Akbar Azmi, Adam AF, Nash Lefthanded, Zarina Zainudin, Fiza, Zizan Nin, Norman Hakim, Khai, Rosma AF, Jason Chong, Ezzany Nizzarif dan Amyza Aznan.
Kafe Ilmu akan disiarkan pada jam 11.30 malam setiap Isnin hingga Rabu, mulai 18 Julai ini di saluran TV1.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.