MELAKA - Lebih 40 jenis artifak tamadun Islam berusia ratusan tahun bakal menjadi tarikan sempena Sambutan Jubli Perak Ke-25 Masjid Al-Azim bermula 1 hingga 31 Ogos ini.
Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Datuk Yaakub Md Amin berkata, pameran berkenaan antara 32 program menarik yang diatur dalam mendekatkan masyarakat dengan institusi berkenaan.
"Kita sudah atur pelbagai pengisian menarik dalam mendekatkan masyarakat dengan masjid, antaranya pameran artifak, seminar, pelbagai pertandingan dan juga bazar karnival. Kita tak mahu orang fikir masjid hanya untuk solat,” katanya pada sidang media di Maim Bukit Baru, di sini.
Beliau turut menyasarkan lebih 75,000 pengunjung berikutan mendapat respons luar jangkaan pada pameran artifak Rasulullah yang lalu.
"Dengan pelbagai program ini, secara tak langsung mendekatkan hati kita dengan Islam,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Warisan M.A.R., Prof Dr Abd Manan Embong berkata, pameran ityu memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat artifak tamadun Islam yang sudah beratus tahun.
"Kali ini kita bawa artifak baru. Antaranya kain kiswah Kaabah, kereta kuda Kerajaan Islam Solo dan Jogja, porselin berusia 900 tahun, manuskrip Nusantara berusia lebih 200 tahun dan alatan memanah tradisional Islam.
"Kita turut mengadakan bengkel falak iaitu pengunjung akan berpeluang mempelajari cara melihat arah kiblat menggunakan alat falak seperti Arudh dan Qawafi yang mahir digunakan cendekiawan Islam, Sheikh Abdullah Fahim," katanya.