KUANTAN- Seorang bapa sanggup memandu sejauh 97 Kilometer (km)  dari Felda Chini, Pekan sehingga ke Kuantan semata-mata mahu menebus tiket percuma ke Bukit Gambang Resort City, di pejabat Sinar Harian di sini, semalam.
Mohd Syafri Mat Sarip, 38 berkata, dia sanggup berbuat demikian bagi memastikan permintaan anak tunggalnya yang berusia 12 tahun untuk melihat haiwan dan bermain di taman tema air yang terdapat di pusat peranginan itu, tercapai.
Menurutnya, dia akan membawa anaknya itu ke Bukit Gambang Resort City selepas hampir dua tahun tidak berkunjung  ke situ.
“Bila ada tawaran tiket percuma, saya tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkannya.
“Ini semua saya lakukan untuk menggembirakan anak saya yang berulang kali memujuk supaya membawanya ke sana (Bukit Gambang Resort City).
“Saya yakin  dia (anak) akan berasa  teruja dan seronok bila lihat tiket ini, lebih-lebih lagi dia boleh membawa tiga lagi sahabatnya untuk ke sana,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabat Sinar Harian di sini semalam.
Mohd Syafri berkata, dia merancang untuk membawa anaknya dan tiga rakan kanak-kanak itu ke Bukit Gambang Resort City pada pertengahan bulan ini.
“Insya-ALLAH kalau tak ada aral melintang, saya akan membawa mereka semua. Saya harap mereka seronok dapat bermain di situ nanti. Saya juga tak sabar untuk ke sana,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian dan Bukit Gambang Resort City kerana sudi menawarkan tiket percuma untuk memasuki taman tema air itu.
Katanya, dengan adanya penebusan  tiket percuma ini secara tidak langsung dapat membantu golongan kurang berkemampuan untuk berkunjung ke situ.
“Ada yang tak mampu untuk ke sana, saya percaya apabila adanya tiket percuma sebegini, pasti ramai yang tidak melepaskan peluang. Terima Kasih Sinar Harian dan Bukit Gambang Resort City,” katanya.