PENYANYI dan pelakon Awie diperintah oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini untuk membayar nafkah sebanyak RM4000 sebulan kepada dua anaknya yang kini berada di bawah jagaan bekas isterinya, Rozana Misbun.
Hakim  Syarie Che Saupi Che Husin memerintahkan demikian selepas meneliti afidavit dan keterangan yang dikemukakan kedua-dua pihak iaitu Rozana selaku plaintif serta Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, selaku defendan dalam tuntutan nafkah kekal dua anaknya.
Che Saupi memerintahkan RM3000 sebulan dibayar oleh defendan termasuk perbelanjaan makan, minum, kesihatan, pelajaran manakala RM1000 bagi perbelanjaan tempat tinggal Putera Ahmad Rizki, 7, dan Puteri Qaseh Antasha, 6.
Perintah berkenaan perlu dibayar pada atau sebelum 5 haribulan setiap bulan yang berkuat kuasa serta merta.
Selain itu mahkamah juga membenarkan tuntutan Rozana yang menuntut penyanyi berkenaan menanggung sepenuhnya perbelanjaan persediaan persekolahan dan persediaan sambutan Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha kedua-dua kanak-kanak itu.
Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan Rozana yang mahu bekas suaminya itu menanggung bayaran pembantu rumah dan perbelanjaan pakaian setiap tiga bulan sekali anak kedua dan ketiga mereka.
Tuntutan dibuat Rozana mengikut Seksyen 73, Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.
Awie dan Rozana bernikah di Selatan Thailand pada 20 Jun 2005.
Selain Putra Ahmad Rezzki,7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5 anak sulung mereka iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, kini berada di bawah jagaan Awie.
Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13.