LAMA tidak melihat kelibat Diana Amir di pentas lakonan, namun itulah hakikatnya apabila ibu kepada seorang cahaya mata ini mengakui dirinya kini lebih selesa dikenali sebagai pengacara. Namun itu tidak bermaksud pemilik nama sebenar Nurdiyana Amir Hashim ini mahu meninggalkan dunia lakonan. “Saya tak nafikan ramai orang lebih mengenali saya sebagai pengacara dan bukan lagi sebagai pelakon. “Saya akui sangat selesa dan menyukainya kerana saya dapat menumpukan perhatian yang lebih terhadap keperluan suami dan anak,” katanya.
Menurut isteri kepada Mohd Habibbullah A Rahman ini, tawaran berlakon masih lagi diterima namun sekiranya watak yang ditawarkan tidak bersesuaian maka dia akan menolaknya dengan baik.
“Alhamdulillah, masih lagi ada tawaran berlakon yang datang kepada saya… jika watak dan waktu penggambarannya bersesuaian dengan saya maka saya akan terima, jika tidak saya akan menolak dengan baik.
“Buat masa ini saya hanya mengacara sebab saya lebih selesa menguruskan anak selain menjaga kesihatan diri dan bayi kedua yang sudah empat bulan dalam kandungan,” katanya yang kali terakhir tampil dalam drama Cinta Ilahi bergandingan dengan aktor Johan As’ari pada tahun lalu.
Kata ibu kepada Khaulah Al-Azwar yang kini berusia setahun lima bulan ini, dia dan suaminya kini menganjurkan Usrah Dae bagi memberi peluang kepada masyarakat berkongsi ilmu dan pemahaman mengenai agama Islam.
“Setiap malam Rabu, kami akan menjemput penceramah agama untuk sama-sama menelaah keindahan Islam di Pusat Komersial Petaling Jaya (PJCC), Selangor.
“Setakat ini kuliah selama dua jam yang bermula jam 8.30 malam itu berjaya menarik perhatian masyarakat setempat untuk sama-sama mengisi kerohanian diri.
“Alhamdulillah, walaupun secara kecil-kecilan tetapi sambutan yang diterima semakin menggalakkan, saya dan suami amat bersyukur dan berharap agar usaha murni ini terus mendapat perhatian dan sambutan ramai,” katanya.