MEREKA yang pernah menonton drama bersiri, Alias tidak akan melupakan ejen Agensi Risikan Pusat (CIA) yang bersikap talam dua muka, Sydney Bristow.
Aksi Sydney yang begitu lincah membuatkan ramai terpukau dengan lakonannya.
Dek kerana drama berkenaan, Jennifer Garner berjaya menaikkan lagi namanya dalam persada seni  Hollywood.
Mana tidaknya, lakonannya dalam Alias telah membuatkan Garner merangkul empat anugerah, termasuk pelakon wanita drama bersiri terbaik dalam anugerah Golden Globe pada 2005.
Garner, 44, anak jati Texas, Amerika Syarikat (AS) dilahirkan pada 17 April 1972, satu-satunya dalam ahli keluarganya yang terlibat dalam bidang seni.
Ibunya, Patricia Ann seorang guru bahasa Inggeris manakala ayahnya, William John Garner seorang mekanik dalam bidang kimia.
Semasa usianya 3 tahun, keluarga Garner menghantarnya ke sekolah balet.
Namun, meningkat dewasa, Garner tidak mahu menjadi penari balet.Sebaliknya, dia memilih untuk mendalami ilmu pembuatan drama dan memasuki universiti Denilson di Ohio.
Usahanya tidak sia-sia apabila berjaya menggapai ijazah dalam jurusan seni persembahan dan selepas tamat pengajian, dia telah mengarahkan dua persembahan teater.
Pelakon versatil
Perjalanannya menjadi seorang pelakon bermula apabila Garner ditawarkan berlakon dalam drama televisyen, Zoya sebagai watak sampingan.
Bakat Garner mula terserlah apabila berjaya membawakan watak Romy Sullivan dalam drama bersiri, Time Of Your Live.
Garner mula dilihat di layar perak apabila berlakon di dalam sebuah filem perang terkenal, Pearl Harbour di samping bekas suaminya, Ben Affleck dan Josh Harnett.
Selepas memegang beberapa watak serius, Garner mengubah haluan apabila berlakon filem komedi, 13 Going 30 yang mengisahkan perubahan masa yang dialami seorang gadis ke usia 30-an seperti yang dimintanya.
Garner kemudiannya kembali membintangi filem aksi apabila melakonkan watak Elektra Natchios dalam filem Daredevil pada 2004.
Semua portfolio hebatnya telah membuatkan pengarah, Jean-Marc Vallee memilihnya untuk memegang watak Eve dalam filem Dallas Buyers Club pada 2013.
Pada tahun ini, Garner membintangi filem Nine Lives dengan memegang watak Lara Brand, seorang ibu yang cuba menguruskan anak sebaiknya memandangkan dia dan suaminya agak sibuk.
Dalam satu temu bual dalam portal video Today, Garner sangat berbesar hati mendapat watak Lara memandangkan dia juga seorang ibu berkerjaya.
“Ia memberi kesedaran kepada saya bahawa saya perlu membesarkan anak saya meskipun sibuk dengan kerjaya,” katanya.