KULIM - Penggunaan inai pada masa kini bukan lagi hanya untuk herba rawatan tapi telah menjadi trend hiasan tangan atau kaki, khususnya wanita.
Walaupun, penggunaan inai atau henna ini dulunya lebih sinonim sebagai solekan  untuk menaikkan seri pengantin di samping adat terutama kaum Melayu dan India, namun ia tidak diukir atau dilukis dengan pelbagai corak.
Namun, kini, seni lukis inai sudah mula berkembang di kalangan masyarakat negara ini, dan, pelukis inai juga tumbuh bak cendawan selepas hujan. Dengan harga RM8 sahaja, pelanggan dapat menghias jari atau kaki mereka.
Menurut seorang pelukis inai, Siti Norfaizah Ishak, 27, yang berkecimpung dalam bidang itu sejak tujuh tahun lalu, menguasai kemahiran melukis inai ternyata mengubah hidupnya dan mampu menjana pendapatan lumayan.
“Kalau dulu, sekitar  2011, semasa mula-mula saya berkecimpung dalam bidang lukisan inai ini, pendapatan tidak begitu lumayan dan pelanggan pun tak ada.
“Ketika itu masyarakat Melayu terutamanya, berfikir kalau nak kahwin atau rawat penyakit baru pakai inai, itu pun tak ada corak, hanya salut di hujung jari,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, menurut Norfaizah penggunaan inai kini tidak lagi hanya untuk pengantin atau ketika majlis perkahwinan, sebaliknya juga digunakan pada bila-bila masa sebagai satu hiasan atau solekan pada tangan dan kaki.
“Saya merasai sendiri trend perubahan pemakaian inai, ketika 2013 permintaan begitu tinggi apabila di kaca televisyen dan media sosial menunjukkan artis di negara ini mula menggunakan lukisan inai di tangan ketika majlis perkahwinan.
“Selepas itu mula lah kerjaya saya secara sepenuh masa. Tempahan untuk saya lukis inai sangat banyak dan tak menang tangan. Dari situ juga saya mula mendalami ilmu melukis inai ini,” katanya.
Norfaizah berkata, bagi mendapatkan mutu dalam setiap lukisan inai di tangan pelanggan atau di bahagian yang dimahukan, dia terpaksa melukis dan bereksperimen setiap hari.
“Setiap hari mesti saya kena lukis, kalau tak ada tangan pelanggan, tangan anak dan tangan saya sendiri jadi bahan eksperimen.
“Untuk memahirkan lukisan supaya mengurangkan kesilapan pelukis inai, ini perlu dipraktikkan setiap hari bagi mendapat kualiti dan kehalusan seni,” katanya.
Ibu kepada tiga orang cahaya mata itu juga berkata, upah melukis inai dikenakan terhadap pelanggan bermula RM8 hingga RM45, malah boleh mencapai ratusan ringgit bergantung kepada corak yang diinginkan.
“Selalu kalau untuk suka-suka, saya caj sebanyak RM8 sahaja tapi untuk perkahwinan saya ada pakej bajet iaitu RM30 hingga RM45.
“Tapi sekiranya ada pelanggan meminta saya ke rumah mereka, saya terpaksa caj lebih untuk perjalanan,” ujarnya.
Katanya, dia mahir dalam seni lukisan bunga ros 3D dan pelanggan juga menggemari corak yang diilhamkannya sendiri.
“Ramai pelanggan saya kalau datang berminat corak bunga ros 3D ini. Cuma, ia agak rumit dan boleh makan masa sehingga 30 minit untuk siapkannya.
“Tapi ada juga saya terpaksa ambil masa satu hingga dua jam untuk siapkan lukisan inai bagi corak mandala atau dikenali sebagai Bollywood,” katanya.
Menurutnya, dia kini turut membuka kelas kepada pelajar lepasan SPM dan ibu tunggal untuk mempelajari seni lukis inai.
“Sebenarnya jika kita pandai seni lukis inai di tangan orang ini, bukan sahaja kita dapat jana pendapatan, malah juga dapat membuat kraf tangan yang begitu halus , menjadikan barangan murah ke harga mahal.
“Sebabnya, kita boleh guna kemahiran melukis ini di atas lilin, kanvas dan cermin dengan corak-corak abstrak,” katanya.
Dalam pada itu, katanya dia juga amat menitikberatkan corak pada setiap reka bentuk yang hendak dilukis pada tangan pelanggan selain penggunaan bahan-bahan dalam inai.
“Saya akan tengok kalau ada pelanggan nak corak mereka sendiri adakah ia sesuai. Kalau ada unsur keagamaan lain dan haiwan yang boleh menjadi haram, saya akan nasihatkan mereka.
“Inai yang saya guna juga adalah buatan sendiri dan segala bahan yang dimasukkan juga adalah semula jadi dan suci,” katanya.
Kini, Norfaizah, seorang suri rumah, berjaya membuktikan pelukis inai mampu menjana pendapatan ribuan ringgit terutama pada musim cuti sekolah dan perayaan.
Dalam pada itu,  Timbalan Mufti Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauddin berkata pemakaian inai bercorak bagi kaum wanita adalah harus namun tidak boleh mempunyai unsur simbol, lambang, gambaran atau bentuk dewa ajaran bertentangan dengan syarak.
“Corak seperti daun, bunga dan seumpamanya adalah diharuskan, namun jika berlebihan ia menjadi makruh.
“Keharusan pemakaian inai ini pada golongan wanita terhad pada pergelangan tangan sahaja. Jika berhadapan dengan suami atau mahram bolehlah dipakai pada anggota badan yang lain seperti kaki hingga buku lali.
Tambahnya, manakala kandungan dan warna inai, hendaklah tidak bersifat kekal seperti 'tattoo' serta tidak mengandungi unsur najis atau yang meragukan.
“Pemakaian inai untuk tujuan perubatan adalah diharuskan. Jika bercampur dengan najis sekalipun, tapi penggunaannya hanya pada kadar yang diperlukan sahaja,” katanya.
Katanya, hukum memakai inai adalah sunnah kepada golongan lelaki iaitu mewarnai rambut dan janggut.
“Pemakaian inai bercorak pada kedua belah tangan dan kaki bagi kaum lelaki adalah tidak diharuskan, kerana ia menyerupai kaum wanita,” katanya
.