GEORGETOWN - Dilema bagi golongan pertengahan dan rendah di negeri ini apabila kadar sewa rumah terlalu tinggi. Rata-ratanya mengeluh kerana kos untuk tempat tinggal diperuntukkan dengan bayaran yang tinggi.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, harga sewa untuk sebuah rumah flat di Georgetown sahaja sudah mencecah RM800 hingga ke RM1,000 sebulan.
Bagi kawasan lain, seperti Gelugor yang berhampiran dengan Universiti Sains Malaysia (USM) juga melambung tinggi saban tahun.
Bagi Khalid Rahman Ahmad, 30 berkata, ketika mula bekerja pada 2010, dia membayar sewa untuk sebuah rumah berhampiran USM dengan harga RM900.
Menurutnya, kemudian ia semakin meningkat sehinggalah kini mencecah RM1,200 sebulan.
“Untuk kami yang hanya terima gaji RM2500 sebulan, hampir suku daripada gaji digunakan untuk membuat bayaran rumah sewa saja.
“Itupun nasib baiklah isteri saya sanggup berkongsi untuk buat bayaran rumah setiap bulan, jika tidak, duit gaji habis untuk rumah saja,” katanya.
Mahu atau tidak, Kata Khalid, sewa rumah antara jalan paling mudah kerana dia pernah beberapa kali gagal membuat pinjaman perumahan.
“Rumah di kawasan pulau mahal, jika adapun di seberang, gaji saya tak banyak mana, jika menetap di seberang, kos seperti minyak dan tol akan bertambah.
“Jadi sewa adalah jalan terbaik walaupun tidak sebagus mana, saya harap ada pihak dapat menyelesaikan isu kami terutamanya dilema sewa rumah yang semakin mahal,” katanya.
Cecah RM1,800 sebulan
Hasil carian melalui beberapa laman sesawang bagi sewa bilik mendapati dilema yang melanda golongan belia ini sememangnya benar.
Melalui web mudah.my, kadar bayaran sewa untuk sebuah rumah di Georgetown mampu mencecah sehingga RM1,800.
Kawasan Pulau Tikus yang menjadi lokasi pusat membeli-belah termasuk Gurney Plaza, Gurney Paragon dan sebagainya juga dikelilingi rumah sewa yang agak mahal.
Ia bermula dari harga RM1,600 hingga RM2,600 sebulan dan rata-ratanya ialah pangsapuri dan juga kondominium.
Sementara harga untuk menyewa sebuah bilik sahaja sudah mencecah RM500 hingga RM850 sebulan menyamai harga sebuah rumah sewa di Balik Pulau.
Namun bagi Mohd Khairul Anwar, 30, ramai yang tidak dapat mengambil rumah sewa di pinggir kampung seperti Balik Pulau.
“Murah memang murah, tapi ia jauh dari tempat kerja, dan ramai golongan belia tertumpu di sekitar Georgetown, Gelugor dan juga Bayan Lepas.
“Jika rumah jauh, bukan sahaja kos minyak lebih tinggi, tetapi risiko juga lebih tinggi untuk kita hadapi setiap hari di jalan raya,” katanya.
Kawasan perindustrian seperti di Bayan Lepas juga mencecah harga sewa tinggi iaitu dari RM250 hingga RM350 untuk sebuah bilik sahaja, sementara untuk sebuah rumah pula ialah RM700 hingga RM1,000 sebulan.
Naikkan harga saban tahun
Sementara itu, bagi Fatin Syazwani Norani, 26, berkata, dia dan rakannya sering membincangkan  mengenai isu kenaikan harga sewa rumah di kawasan pulau.
Menurutnya, ia seakan menjadi satu kebiasaan kepada pemilik rumah untuk menaikkan harga sewa saban tahun.
“Kami mempunyai banyak pengalaman kerana ramai kawan bujang, ada yang sewa rumah, ada juga bilik.
“Contohnya di Apartment Sinar Bukit Dumbar, pada 2013, harga rumah sewa hanya RM550, tapi ia naik RM100 pada 2014 dan kemudiannya pada tahun lepas tuan rumah sekali lagi menaikkan harga kepada RM700,” katanya.
Kata Fatin, antara alasan tuan rumah ialah mahu menyelaraskan harga sama seperti pemilik rumah yang lain.
“Katanya orang lain dah naikkan harga hingga RM800, jadi sudah tentu tuan rumah lain juga perlu naikkan harga.
“Adakah ia alasan yang logik? Hakikatnya keadaan rumah sama sahaja,” katanya.
Pemilik ambil kesempatan
“Ada yang cuba ambil kesempatan,” itulah yang diakui Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), A Kumaresan berhubung isu kenaikan harga sewa rumah yang semakin melampau di negeri ini.
Menurutnya, antara alasan yang diberikan termasuk kenaikan kos sara hidup dan juga bayaran penyelenggaraan yang tinggi.
“Malah ada yang cuba berikan alasan cukai GST, namun begitu kita tidak dapat kenal pasti punca utama mereka menaikkan kadar sewa.
“Peningkatan kadar sewa ini membebankan golongan muda terutama yang baru hendak bekerja,” katanya.
Kumaresan yang juga Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang berkata, kebanyakan pemilik mengambil kesempatan dengan alasan kos penyelenggaraan.
“Padahal flat kos rendah dan sederhana rendah ada pemilik tidak bayar kos pengurusan sehingga bertahun-tahun lamanya.
“Kadar sewa tinggi juga disebabkan faktor permintaan tinggi dalam kalangan pekerja dari luar Pulau Pinang dan pekerja asing.
“Pekerja asing sanggup bayar sewa tinggi kerana mereka berkongsi dengan kawan, malah ada di antara mereka tinggal hingga 10 orang dalam sebuah rumah,” katanya.
Kumaresan tidak menafikan perlunya kaedah untuk mengawal kenaikan harga sewa rumah, namun untuk membuat pengawalan itu tidak mudah kerana ianya tidak berkait dengan kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Bukan seperti harga rumah, di mana kerajaan mempunyai kuasa dan undang-undang untuk mengawal harga rumah daripada meningkat. Bagi saya penyewa harus bijak memilih rumah sewa dan gunakan laman web untuk membuat perbandingan sebelum menyewa rumah.
“Kalau boleh berbincang secara terus dengan tuan rumah, elakkan menggunakan khidmat ejen kerana kebanyakan agen akan menaikkan harga sewa asal untuk mengaut keuntungan atas angin,” katanya.
Terbaharu, Kerajaan Pulau Pinang juga bercadang untuk mewujudkan polisi kawalan kadar sewa di Tapak Warisan Dunia Georgetown kerana harga kadar sewa khasnya bagi lot perniagaan di situ dikatakan tidak masuk akal.
Menurut sumber, ada peniaga yang dikenakan kadar sewa sehingga RM5,000.
Bagaimanapun Exco Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, cadangan itu akan dibawa ketika Persidangan Hartanah Antarabangsa Pulau Pinang (PIP) minggu ini.
Skim sewa beli
Sementara itu, Kerajaan Pulau Pinang turut mewujudkan Skim Sewa Beli bagi membantu golongan yang layak mendapat rumah daripada aspek pendapatannya, tetapi gagal mendapatkan pinjaman bank.
Melalui Bajet 2014, Pulau Pinang mengumumkan cadangan memperkenalkan Skim Pemilikan Bersama (Shared Ownership Scheme-SOS) di Taman Sungai Duri Permai dan juga pengenalan semula Skim Sewa Beli di Taman Seruling Emas.
SOS pada asalnya adalah berdasarkan konsep, di mana kerajaan negeri akan memberi pinjaman sehingga 35 peratus harga belian, manakala baki 65 peratus akan dipinjamkan melalui bank komersil.
Jagdeep berkata, setelah perbincangan diadakan dengan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang mendapati, ia sukar untuk kerajaan negeri.
Bagaimanapun, pada 15 Jun lalu, kerajaan memutuskan agar SOS digantikan dengan Skim Sewa Beli.