‘PANDANGLAH dengan rahmah, ubahlah dengan berhemah'. Itulah tagline juara program Da’i Pendakwah Milenia tahun lalu, Hamidah semasa menyertai program tersebut.
Namun, bagi individu yang nama sebenarnya Hamidah Ab Razak, 24, ayat ini adalah prinsip yang dipegang olehnya sejak dia berada di menara gading lagi.
“Semasa saya kecil lagi, ayah nasihat supaya kita tidak sentiasa mementingkan diri dan sentiasa berkongsi ilmu yang kita ada kepada masyarakatnya,” katanya dengan penuh sopan, tetapi tegas.
Selain itu, ayahnya, Ab Razak Awang Aglong, 64, sentiasa memberikan nasihat supaya sentiasa belajar perkara asas dalam Islam dalam usaha memenuhkan dada dengan ilmu agama.
“Ayah saya faham perasaan kami adik-beradik yang mahu belajar di sekolah beraliran kebangsaan memandangkan dia juga seorang guru. Namun, ayah menghantar kami ke sekolah pondok untuk mendalami ilmu agama.
“Dia sentiasa mengingati kami jika kita sentiasa mengajar ilmu agama, Insya-ALLAH, hal dunia akan datang kemudian,” katanya.
Bertitik-tolak daripada nasihat ayahnya itu, anak bongsu daripada lapan beradik ini mengambil keputusan untuk berkongsi ilmu dengan mengajar di Penjara Pokok Sena, Kedah sejak dia berumur 19 tahun.
Kata Hamidah, di sana, dia ditugaskan memberi kuliah kepada banduan wanita, tidak mengira umur atau agama dan ia adalah pengalaman yang mengujakan memandangkan diberi amanah pada usia yang muda.
“Semasa mengajar, saya mendengar pelbagai kisah mengenai sebab mereka melakukan jenayah ini. Apabila mendengar kisah mereka, pelbagai perasaan yang menyelubungi saya.
“Saya bersyukur dan beruntung kerana masih mempunyai kehidupan yang baik berbanding banduan ini. Ada di antara mereka dipenjarakan kerana terpaksa melakukan sesebuah jenayah.
“Kebanyakan banduan sudah berumur dan saya anggap beberapa banduan ini seperti ibu memandangkan mereka sentiasa berkongsi kisah hidup mereka,” katanya dengan sayu.
Hamidah dijemput untuk memberi ceramah sekurang-kurangnya sekali sebulan di pusat penjara berkenaan dan dia sangat bersyukur kerana dimaklumkan oleh pihak penjara bahawa terdapat beberapa banduan yang memeluk Islam.  
Sibuk dengan komitmen
 Sejak menjadi johan pertandingan Da’i serta menyambung pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nilai, mahasiswa yang berada di semester empat ijazah Sarjana Muda Akidah dan Pengajian Islam kini sibuk dengan pelbagai komitmen.
“Saya masih terima jemputan daripada pihak penjara, tetapi saya akan menerima jemputan itu sekiranya saya mempunyai masa terluang dan sekiranya sibuk, saya terpaksa menolak jemputan itu,” katanya.
Menurutnya, dia kini menerima pelbagai jemputan untuk berceramah di pelbagai program yang dianjurkan pihak swasta. Selain itu, Hamidah juga sibuk menulis artikel untuk sebuah akhbar tempatan.
Walaupun sibuk dengan pelbagai komitmen, Hamidah tidak mengabaikan pelajaran yang menjadi misi utama dalam hidupnya.
“Apabila saya ditawar berceramah di sesebuah majlis, saya akan meneliti jadual kuliah dahulu sebelum apa-apa keputusan.
“Jika majlis itu berlangsung serentak dengan kelas, saya terpaksa menolak jemputan tersebut. Saya tidak mahu ponteng kelas,” katanya.
Meskipun sibuk pelbagai komitmen, Hamidah akan memastikan dia sentiasa pulang ke kampung halamannya di Sik, Kedah sekurang-kurangnya sebulan sekali.
“Keberkatan dan keredhaan ibu bapa adalah sangat penting kepada setiap manusia. Jadi, saya mahu merebut peluang tersebut,” katanya.
Sekiranya mempunyai masa terluang, Hamidah akan memperuntukkan sedikit masa, membaca buku agama untuk menambah ilmu pengetahuannya.
Katanya, ilmu perlu ditambah memandangkan dia perlu menyampaikan apa dibaca kepada pendengar.
“Menyampaikan ilmu adalah tanggungjawab besar. Justeru, saya perlu sentiasa merujuk pelbagai kitab supaya apa yang saya cakapkan tepat dan tidak mempunyai kesilapan fakta,” katanya.
Belajar teknik berdakwah 
Dalam program Da’i, Hamidah belajar pelbagai teknik untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat.
“Bayangkan, bagaimana kita hendak menyampaikan syarahan yang penuh dengan pengisian dalam tempoh singkat. Saya sendiri agak susah melakukannya.
“Namun apabila saya berada dalam program itu, saya belajar melalui murabbi Datuk Mohammad Kazim Elias dan beberapa tenaga pengajar lain,” katanya.
Mengimbau kenangan semasa episod pertama dalam program Da'i di mana setiap peserta diminta menyampaikan syarahan, Hamidah akui sangat gementar kerana buat pertama kali dalam hidupnya dia perlu menyampaikan syarahan yang disiarkan secara langsung.
Namun apabila program berlangsung, dia berjaya mengekang rasa gementarnya hasil bantuan tenaga pengajar.
“Meskipun saya diajar pelbagai teknik, saya cuba menjadi diri sendiri semasa menyampaikan ceramah. Itulah apa yang saya pegang sehingga kini,” katanya.