PENYANYI antarabangsa yang pernah menjadi fenomena sekitar 2010, Maher Zain menyifatkan setiap lagu yang dibawanya sarat dengan mesej kesatuan termasuk dalam album terbaharunya, ‘One’.
 
Menurut penyanyi kelahiran Lubnan ini, dengan suasana dunia mutakhir ini di mana imej Islam terus tercalar, beliau cuba menyampaikan mesej positif semampu mungkin demi membina dunia yang lebih baik.
 
‘One’ (Yang Satu) untuk orang Muslim adalah ALLAH SWT dan perpaduan kita dalam satu dunia ini di mana kita tinggal di bawah satu bumbung yang sama. ‘One’ juga bermaksud kesatuan sejagat dan satu ummah.
 
“Dalam masa sekarang dengan segala konflik yang berlaku hingga imej Islam tercalar. Jadi, saya cuba menyampaikan mesej keamanan, kebersamaan, jalani kehidupan dengan harmoni serta saya cuba menyumbang sebanyak yang mungkin untuk menjadikan dunia ini lebih baik. Setiap daripada kita patut juga melakukan itu dan dengan mana-mana cara sekalipun yang kita mampu,” katanya ketika kunjungannya ke Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika ditanya alasan memilih ‘One’ sebagai tajuk bagi album ketiganya itu.
 
Berkongsi lagi, Maher Zain mengakui lagu-lagunya mampu mendekati bukan sahaja golongan Islam malah ia juga menarik golongan bukan Islam.
 
“Alhamdulillah, kita bukan hanya berjaya mendekati orang Muslim malah juga yang bukan Muslim. Saya juga banyak bekerja dengan pemuzik, penerbit yang bukan Islam dalam album-album saya.
 
“Saya lihat banyak komen di Facebook dan YouTube malah yang datang ke konsert saya pun ada yang bukan Islam. Tapi mereka menikmati muzik itu dan rasa dekat dengan lirik lagu tersebut,” katanya.
 
Ketika kisah peribadinya dicungkil sedikit, Maher Zain akui isteri dan dua anaknya sudah terbiasa dengan rutinnya yang sering berada di luar negara untuk bekerja namun beliau sering menghubungi mereka melepaskan kerinduan.
 
“Tapi, apabila di rumah, saya memang akan cuba habiskan masa dengan keluarga sebaik mungkin. Menggunakan masa berkualiti itu bersama mereka,” katanya.