SELAIN berlakon, aktor Dazrin Kamarudin berhasrat untuk melebarkan sayap sebagai penerbit filem menerusi syarikat produksinya, Flying D’s Entertainment yang ditubuhkan sejak setahun lalu.
Tidak hanya bergelar penerbit, selebriti berusia 28 tahun itu juga akan bertindak sebagai penulis skrip dan pengarah.
"Walaupun agak gementar, saya mahu mencuba dalam bidang baru.
"Lagipun, sudah tiba masanya untuk saya mengetengahkan bakat sebagai pengarah dan penulis skrip," katanya pada Zass.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Filem dan Media ini memberitahu, keterujaannya itu turut dipengaruhi dengan kehadiran ramai pengarah baharu pada hari ini.
"Alhamdulillah, saya sendiri merasakan prestasi dan tahap lakonan saya semakin memberangsangkan.
"Jadi, saya anggap percubaan di bidang baharu ini sebagai satu cabaran dalam mempamerkan bakat terpendam.
"Saya bersyukur kerana dapat bekerja dengan mereka yang berpengalaman dalam bidang ini. Secara tidak langsung, saya berpeluang menimba pelbagai ilmu di belakang tabir," katanya.
Meskipun bakal bergelar penerbit, cinta Dazrin terhadap karier lakonan tidak pernah berkurangan sebaliknya pelakon drama bersiri Bukan Isteri Sempurna ini mahu kedua-duanya bergerak seiring.
"Saya masih lagi terima pelbagai tawaran lakonan, cuma saya sedang memperlahankan aktiviti tersebut demi berfokus kepada bidang baharu," katanya.
Pada masa sama, Dazrin turut merancang untuk mengembangkan lagi bakat nyanyiannya.
"Saya sudah melancarkan single Kota Antara ciptaan Audi Mok yang menjadi lagu runut bunyi bagi rancangan Jodoh.
"Insya-ALLAH, saya juga sudah siapkan empat hingga lima lagu dan hanya menunggu masa untuk dilancarkan," katanya.
Dilihat begitu rakus membolot pelbagai cabang seni, Dazrin bagaimanapun menafikan dirinya bersikap tamak sebaliknya, pelakon drama bersiri Cinta Pandang Ke-2 ini menyifatkan ia sebagai satu kelebihan sebagai anak seni.
"Saya bukan tamak, tetapi saya mahu mencuba.
"Pada saya, anak seni sepatutnya mencuba semua benda yang ada di dalam bidang seni.
"Lagipun, saya juga mahu mencabar diri sekali gus menjadi anak seni yang berjaya," katanya.