JOHOR BAHRU – Salah seorang pelajar Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) di sini berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 20 bulan pada usia 22 tahun.
Pelajar Diploma Tahfiz wa-Qiraat, Muhammad Abu Dzar Noorzahid berkata, dia tidak mengamalkan sebarang amalan tertentu tetapi hanya menumpukan perhatian sepenuhnya ketika melakukan latihan menghafaz.
“Saya menghafz selepas Maghrib hingga menunggu Isyak. Jika hendak menghafaz kita juga mesti tetapkan niat dengan betul demi mendapat keredaan ALLAH
“Selain itu, kita juga perlu kosongkan hati, tidak boleh buruk sangka terhadap orang lain dan sentiasa memaafkan orang-orang di sekeliling kita.
"Saya juga menjaga pemakanan bagi memastikan sumbernya benar-benar halal dan tidak diragui terutamanya yang melibatkan penyembelihan," katanya ketika ditemui pada Majlis Khatam Hafazan Marsah, di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim, Mufti Negeri Johor, Datuk M Tahrir Samsudin dan Ketua Eksekutif Marsah, Prof Dr Mohamad @ Md Som Sujimon.
Difahamkan, anak ketiga dari tujuh beradik itu dia mula mengaji dan menghafaz sejak dari kecil atas bimbingan ibunya, Haniza Abu Talib, 50 dan bapa Noorzahid Husin, 51 serta dorongan daripada abang dan kakaknya yang turut menghafaz 30 juzuk al-Quran.
Sementara itu, Mohamad berkata, Seramai 22 pelajar kolej berkenaan berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran mengikut masa dan syarat yang ditetapkan, sekali gus layak menerima Sijil Tamat Hafazan.
“Matlamat kita adalah untuk melahirkan hafiz dan hafizah yang berilmu dan berpengetahuan luas dalam persekitaran agama, sosial dan global serta berkemahiran dalam ilmu al-Quran.
“Marsah menyasarkan setiap pelajar menyambung pengajian akhir ke peringkat lebih tinggi di institut pengajian tinggi awam mahupun swasta, sekali gus  menempatkan diri dalam bidang kerjaya,” katanya.