PENGGUNAAN santan dalam masakan harian bagi masyarakat negara ini sememangnya tidak boleh dinafikan lagi terutamanya ketika musim perayaan.
Ini kerana hampir kesemua masakan tradisional Melayu menggunakan santan sebagai bahan utama masakan mereka.
Walaupun  masyarakat sedia maklum tentang kandungan santan yang mempunyai kolesterol dan memberi kesan kepada kesihatan, masih ramai yang tidak mengambil berat dan mengabaikannya demi masakan yang enak.
Menyedari masalah itu, syarikat Bumiputera, Kitchen Kingdom Sdn Bhd tampil dengan produk santan yang menggunakan kelapa sawit menerusi jenama Kitchen Kingdom.
Pengarah Eksekutifnya, Mutanazim Abd Mubin berkata, santan menggunakan kelapa sawit bukanlah suatu yang baharu tetapi telah berada di pasaran sejak lima tahun lalu.
"Walaupun produk itu telah berada di pasaran. Namun, produk itu masih tidak mendapat tempat di kalangan pengguna tempatan.
"Sebab itu, kami tampil mengambil risiko dengan menghasilkan produk santan kelapa sawit yang berlainan dengan yang telah berada di pasaran," katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.
Menurutnya, santan Kitchen Kingdom berada di pasaran sejak Februari lalu dengan kerjasama kilang dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam proses pembuatan dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk.
Katanya, menerusi kerjasama itu, pihaknya mengeluarkan jenama Kitchen Kingdom dengan tujuan memberikan tumpuan kepada pengiklanan dan pemasaran agar masyarakat mula beralih kepada penggunaan santan kelapa sawit demi kesihatan.
Tanpa kolesterol
Mengulas lanjut berhubung produk itu, Mutanazim berkata, santan kelapa sawit mempunyai enam kelebihan berbanding santan biasa.
Menurutnya, kajian yang dilakukan membuktikan bahawa santan Kitchen Kingdom adalah bebas kolesterol, rendah lemak, berkhasiat kerana mengandungi Vitamin A,C dan E, sedap sama seperti santan biasa, tahan lama sehingga lima bulan dan jimat sehingga dua kali ganda.
Walaupun baru berada di pasaran, pihaknya melihat terdapat potensi besar dan mempunyai permintaan yang tinggi di kalangan masyarakat tempatan serta Asean yang menerima penggunaan santan daripada kelapa sawit ini.
"Kami yakin santan ini akan jadi produk pilihan utama masyarakat tempatan dan Asean dalam tempoh beberapa tahun lagi," katanya.
Oleh itu, pendedahan dan pemasaran yang agresif perlu dilakukan bagi memberitahu masyarakat terhadap khasiat dan kewujudan santan iti.
Selain itu, santan ini juga boleh digunakan sebagai pengganti susu bagi membuat pencuci mulut dan kuih muih.
Mutanazim berkata, produknya juga kini telah digunakan oleh Datuk Chef Ismail di restorannya dan gerai Rojak Cendol Durian Seksyen 24, Shah Alam.
Sedia tembusi pasaran Asean
Selain Malaysia, Indonesia juga antara negara yang banyak menggunakan santan dalam makanan harian.
"Kami mempunyai permintaan di negara itu dan berhasrat memasuki pasar raya Giant di negara tersebut.
"Kami juga berhasrat ke China, Pakistan dan Thailand dalam tempoh dua tahun lagi diikuti negara Asean lain," katanya yang melabur RM200,000 sebagai modal permulaan termasuk pemasaran dan pembungkusan produknya.
Mengulas lanjut, Mutanazim berkata, setakat ini, santan Kitchen Kingdom boleh didapati di pasar raya Giant, Mydin, Econsave, pasar-pasar mini dan peniaga di seluruh negara.
Menurutnya, pihaknya dalam proses meluaskan pasaran dengan memasuki beberapa lagi pasar raya seperti Tesco, Aeon dan Aeon Big menjelang akhir tahun ini.
Katanya, sejak berada di pasaran, sambutan diterima menggalakkan dengan penambahan tempahan setiap bulan.
"Kami jangka menjual 10 tan santan sebulan pada masa akan datang kerana kami merekod jualan sebanyak lima tan pada Mei lalu.
"Ia satu pencapaian yang baik dan kami jangka ia terus meningkat," katanya.