MARANG - ‘Kantoi’ demikianlah nasib seorang daripada tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam satu kes pecah rumah seorang penduduk di Kampung Durian Guling di sini apabila berjaya diberkas oleh penduduk kampung, pagi tadi.
Ketika diberkas di antara jam 8.00 hingga 8.30 pagi itu, pemuda berusia 20-an terbabit sedang bersembunyi di dalam semak berhampiran rumah mangsa selepas dikatakan cuba melarikan diri bersama dua lagi rakannya.
Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Durian Guling, Ramli Mohamad, 55, berkata, setelah tangkapan itu dibuat selepas memeriksa rumah mangsa dan mendapati pintu rumah telah diumpil.
"JKKK dan penduduk percaya pemuda terbabit terlibat dalam kes pecah rumah berkenaan lalu menghubungi pihak polis dan menyerahkan pemuda itu kepada pihak berkuasa terbabit untuk siasatan lanjut," katanya.
Sebelum itu, Ramli berkata, jiran mangsa yang cemas selepas mendapati rumah mangsa telah diceroboh segera menghubungi rakannya agar menghubungi pengurusan kampung sebelum perkara itu dimaklumkan kepadanya.
“Perkara itu dimaklumkan kepada saya. Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati penduduk telah berjaya memberkas seorang dari mereka. Lelaki itu berjaya diberkas ketika bersembunyi di dalam semak berhampiran rumah mangsa.
“Saya ketika itu juga dimaklumkan bahawa dua lagi rakan yang dikatakan turut bersama lelaki yang berjaya diberkas itu tidak dapat dikesan dan telah berjaya melepaskan diri mereka,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa tidak berada di rumah kerana bekerja di Paka, Dungun manakala isterinya berkursus di Kuala Lumpur malah rumah mereka telah ditinggalkan sejak tiga hari lalu tanpa penghuni.
Berikutan itu, suspek terbabit kemudian diserahkan kepada polis yang tiba di lokasi kejadian sejurus kemudian dan usaha menjejak dua lagi lelaki diteruskan dan diketuai oleh pihak polis dari balai polis berhampiran.
Sementara itu, ulasan daripada mangsa setakat ini masih gagal diperoleh namun mangsa dikatakan telah pergi ke Balai Polis Bukit Payong di sini untuk membuat laporan mengenai kejadian berkenaan untuk tindakan lanjut.