SEREMBAN - Orang ramai di Negeri Sembilan diminta terus mengamalkan penggunaan air bersih secara berhemah meskipun proses pembenihan awan yang dilaksanakan sejak minggu lepas berjaya menghasilkan hujan.  
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini berikutan paras air sungai dan empangan masih pada tahap minima dan belum mencapai paras sepatutnya walaupun menerima taburan hujan lebat selepas proses berkenaan.  
"Kita bersyukur pembenihan awan yang dilaksanakan sejak Jumaat lepas berjaya menghasilkan hujan selain solat hajat oleh jemaah masjid dan surau yang dilakukan di seluruh negeri ini.  
"Bagaimanapun, kita masih memerlukan hujan dalam tempoh lama bagi mendapatkan kandungan air lebih banyak hingga boleh meningkatkan paras air di empangan dan sungai," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.  
Proses pembenihan awan dilaksanakan di negeri ini sebanyak enam kali dengan tumpuan utama di kawasan yang mempunyai hulu sungai di daerah Jelebu, Jempol dan Kuala Pilah.
Mohamad berkata paras air di beberapa sungai seperti Sungai Ulu Muar dan Sungai Triang yang menjadi sumber bekalan air mentah, didapati meningkat sedikit selepas hujan.  
"Ini membolehkan tindakan melepaskan air di empangan bagi meningkatkan paras air sungai dihentikan, dan menyambung semula langkah-langkah menadah air hujan," katanya.  
Beliau berkata pihaknya masih memantau situasi bekalan air di negeri ini dan akan meneruskan proses pembenihan awan sekiranya paras air sungai dan empangan kembali merosot.  
"Berdasarkan kepada situasi semasa paras air dan empangan, cadangan untuk melaksanakan catuan bekalan air secara berkala masih ditangguhkan," katanya.  
Mohamad berkata pemantauan turut dilakukan terhadap sektor pertanian dan perladangan yang memerlukan bekalan air yang cukup terutamanya melibatkan aktiviti menanam padi.  
Bagaimanapun, katanya, keutamaan adalah untuk memastikan bekalan air minuman untuk orang ramai mencukupi sebelum perhatian diberikan kepada keperluan lain.